Oleh: Siti Nur Syazwani binti Rahim& Dr. Ahmad Sauffiyan bin Abu Hasan
Tanjong Malim – Kawasan tasik di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kini menjadi antara lokasi paling popular dalam kalangan pelajar untuk meluangkan masa dan melepaskan tekanan selepas menghadiri kelas. Suasana yang tenang serta pemandangan yang cantik menjadikan kawasan tersebut sebagai “port healing” pilihan warga kampus.
Setiap petang, kawasan tasik akan dipenuhi dengan pelajar yang datang bersama rakan-rakan untuk berehat, berbual dan menikmati suasana nyaman. Ada juga pelajar yang memilih untuk duduk bersendirian sambil mendengar muzik, membaca buku atau menyiapkan tugasan di kawasan sekitar tasik.
Menurut beberapa pelajar, kawasan tasik memberikan ketenangan selepas penat menghadiri kelas dan menyiapkan tugasan akademik. Suasana alam semula jadi serta angin yang nyaman membantu mereka mengurangkan tekanan dan meningkatkan semangat untuk belajar.
Menurut salah seorang sumber, tasik disini bukan sahaja menjadi tempat riadah untuk pelajar bersukan atau berkayak, tetapi untuk pelajar mengambil ilham atau udara segar dengan bersantai di tepi tasik. Kadang-kadang pelajar hanya mahukan ketenangan selepas menghadapi tekanan pembelajaran. Dengan bersantai di tepi tasik menikmati keindahan pemandangan, tekanan boleh dikurangkan.
Selain menjadi tempat berehat, tasik UPSI juga sering dijadikan lokasi untuk beriadah seperti berjoging, berbasikal dan mengambil gambar. Ramai pelajar mengambil peluang untuk merakam gambar bersama rakan kerana kawasan tersebut mempunyai pemandangan yang menarik terutama ketika waktu petang dan matahari terbenam.
Kawasan tasik ini juga menjadi tempat pelajar mengeratkan hubungan persahabatan. Ada yang berkumpul untuk berbincang tugasan, membuat aktiviti persatuan atau sekadar menikmati masa bersama selepas kelas. Keadaan ini menjadikan suasana kampus lebih ceria dan harmoni.
Walaupun hanya berada di dalam kawasan universiti, tasik UPSI berjaya memberikan suasana yang menenangkan seperti berada di tempat percutian. Ramai pelajar berharap kawasan tersebut terus dijaga dengan baik supaya dapat dinikmati oleh semua warga kampus pada masa akan datang.
Secara keseluruhannya, tasik UPSI bukan sahaja menjadi lokasi riadah, malah menjadi tempat pelajar mencari ketenangan dan merehatkan fikiran daripada kesibukan kehidupan sebagai mahasiswa. Tempat ini membuktikan bahawa suasana yang tenang dan nyaman mampu memberi kesan positif terhadap kesejahteraan pelajar di universiti.