Bilik Bacaan 24 Jam Perpustakaan Tuanku Bainun: Ruang Selesa Pelajar UPSI Siapkan Tugasan Hingga Lewat Malam

Oleh: Daniel Nurhakim & Dr. Ahmad Sauffiyan bin Abu Hasan

TANJONG MALIM – Perpustakaan Tuanku Bainun yang terletak di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus komited dalam menyokong aktiviti akademik pelajar melalui penyediaan Bilik Bacaan 24 Jam yang dibuka setiap hari tanpa henti. Kemudahan ini menjadi nadi utama buat para pelajar yang memerlukan ruang kondusif untuk menyiapkan tugasan mahupun mengulang kaji pelajaran sehingga lewat malam atau bermalam di sana.
Suasana yang tenang dan selamat di dalam bilik bacaan ini memberikan keselesaan kepada mahasiswa, terutamanya ketika musim peperiksaan atau tarikh akhir penghantaran tugasan semakin hampir. Dengan adanya akses 24 jam, pelajar tidak lagi terikat dengan waktu operasi perpustakaan yang biasa, sekaligus membolehkan mereka menguruskan masa belajar dengan lebih fleksibel mengikut keperluan masing-masing.
Walau bagaimanapun, bagi memastikan kebersihan dan ketenteraman ruang tersebut terjaga, para pelajar diwajibkan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan. Antara peraturan utama termasuklah larangan membawa makanan dan minuman dari luar ke dalam bilik bacaan serta larangan mengubah atau menyusun semula kedudukan perabot yang disediakan. Selain itu, pelajar turut diingatkan agar sentiasa bertanggungjawab terhadap keselamatan barangan peribadi mereka bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku semasa menggunakan kemudahan tersebut.
Langkah pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris menyediakan kemudahan sepanjang masa ini membuktikan keprihatinan mereka terhadap keperluan pembelajaran pelajar di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah. Inisiatif ini bukan sahaja memudahkan urusan harian pelajar, malah membantu meningkatkan produktiviti akademik dalam kalangan warga kampus secara keseluruhan.