Gambar: Pensyarah JKOM, FBK, UPSI bersama Ahli Jawatankuasa CIRCO 2025
Oleh: Daniel Nurhakim & Dr. Ahmad Sauffiyan bin Abu Hasan
TANJONG MALIM – Jabatan Komunikasi dan Media (JKOM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Capstone International Research Colloquium (CIRCO 2025) bagi memenuhi keperluan kursus BKS 3363 (Projek Penyelidikan 2). Program ini menjadi medium utama bagi pelajar UPSI khususnya pelajar tahun akhir ISM Komunikasi Sosial membentangkan hasil dapatan kajian mereka kepada umum.
Penganjuran kolokium ini bertujuan untuk memperkukuh pengetahuan serta kemahiran penyelidikan dalam kalangan mahasiswa. Melalui perkongsian akademik ini, para peserta berpeluang mendalami metodologi kajian dengan lebih efektif, selain mendapat maklum balas terus bagi menambah baik kualiti penulisan akademik mereka.
Selain fokus kepada ilmiah, CIRCO 2025 turut berperanan dalam melahirkan graduan yang berkemahiran tinggi dalam aspek komunikasi, organisasi, dan pemikiran kritis. Sesi pembentangan yang dijalankan menuntut pelajar untuk berhujah dengan bernas serta menguruskan sesi perbincangan secara profesional.
Secara keseluruhannya, kolokium ini bukan sahaja berjaya mencapai objektif kurikulum, malah bertindak sebagai pemangkin dalam membentuk pemikiran kritis pelajar sebelum melangkah ke
alam kerjaya. Usaha ini membuktikan komitmen JKOM UPSI dalam memartabatkan budaya penyelidikan yang berkualiti di peringkat antarabangsa.
