Antara aktiviti semasa program Kuali ke Kuantiti berlangsung di perkambungan Orang Asli.
Oleh: Nurul Aina Najwa Binti Ahmad & Dr. Ahmad Sauffiyan Bin Abu Hasan
Sadiqah Adibah binti Sazali, pelajar Semester 3 daripada kursus ISM Kimia di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), terlibat secara aktif dalam program “Kuali ke Kualiti”, sebuah program sulam yang berlangsung di perkampungan Orang Asli Lata Kinjang pada 14 Disember 2025. Program ini dijalankan di bawah salah satu subjek yang dipelajari olehnya dan bertujuan memberi pendedahan praktikal kepada komuniti setempat mengenai pembuatan sabun menggunakan bahan-bahan yang mudah diperoleh di rumah.
Menurut Sadiqah, sebelum ini ramai beranggapan bahawa bahan pembuatan sabun memerlukan kos yang tinggi serta sukar diperoleh. Namun, melalui program ini, tanggapan tersebut berjaya diubah. “Kami menggunakan minyak masak terpakai sebagai bahan utama untuk menghasilkan sabun, manakala bahan kimia tambahan dibawa oleh kami sendiri,” jelasnya. Penggunaan minyak terpakai ini bukan sahaja menjimatkan kos, malah membantu mengurangkan pembaziran dan menyokong amalan mesra alam.
Program ini melibatkan penyertaan aktif warga kampung Orang Asli bersama pelajar UPSI, di mana mereka bergotong-royong dalam sesi praktikal pembuatan sabun. Sadiqah turut memaklumkan bahawa majoriti peserta terdiri daripada warga emas, ibu-ibu, bapak-bapak serta anak-anak kecil berumur di bawah tiga tahun, sekali gus menjadikan program ini sebagai aktiviti yang mesra keluarga.
Selain memberi ilmu praktikal, program ini juga bertujuan mengeratkan hubungan antara pelajar dan komuniti setempat. Menurut Sadiqah, pengalaman menyertai program sebegini amat bermakna kerana ia membuka peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di bilik kuliah ke dalam situasi sebenar. Dia berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan kerana ia bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti, malah membentuk nilai keprihatinan sosial dan tanggungjawab dalam kalangan pelajar universiti.
MAKLUMAT PENULIS NAMA: NURUL AINA NAJWA BINTI AHMAD
PENGAJIAN: ISM KOMUNIKASI (KOMUNIKASI SOSIAL)
SEMESTER: 5
TEL: 019-5277330
EMEL: ainamad52@gmail.com