Harga Makanan Kafe Kampus Memiliki Jurang Yang Besar Dengan Makanan Di Restoran Luar.




Kafe Khar, UPSI / Sumber : Google



Ditulis oleh: Nur’ Fatima Abdul Samat & Dr Ahmad Sauffiyan Abu Hasan  


Ramai dalam kalangan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris(UPSI) sekarang yang mengalami isu kenaikan kos sara hidup. Hal ini disebabkan oleh harga makanan di kafe kampus yang didakwa lebih mahal berbanding premis makanan di luar kawasan universiti. 


Situasi ini mencetuskan keresahan dalam kalangan pelajar, terutama mereka yang bergantung sepenuhnya kepada elaun pinjaman dan biasiswa yang tidak seberapa.


Hasil tinjauan rawak telah dilakukan di beberapa kafe kolej kediaman dan didapati bahawa nasi putih dan satu lauk boleh mencecah harga antara RM7.00 hingga RM9.00. Tinjauan ini mendapati bahawa harga yang diletakkan adalah tidak masuk akal kerana jika di luar universiti, pelajar boleh mendapatkan menu yang sama pada harga RM5.50 hingga RM7.00.  


Seorang pelajar tahun kedua, Nurul Izzah Ahmad, 21, mendakwa perbezaan harga tersebut sangat ketara bagi seorang pelajar yang perlu makan sekurang-kurangnya dua kali sehari.


"Sebagai pelajar, kami jangkakan harga di dalam kampus lebih murah kerana penyewa kafe mendapat kemudahan fasiliti universiti. Tetapi realitinya, makan di luar kampus jauh lebih berbaloi. Kadang-kadang kami sanggup keluar jauh sedikit semata-mata mahu berjimat," katanya kepada pemberita.


Isu harga sudah tentu menjadi masalah yang utama, namun begitu kualiti dan kuantiti makanan turut menjadi pertikaian. Terdapat aduan daripada pelajar bahawa saiz hidangan yang semakin mengecil yang menyebabkan ia tidak setanding dengan harga yang dijual. 


Jika masalah ini tidak dibendung, akan dikhuatiri mahasiswa terpaksa mengikat perut dan mengamalkan diet yang tidak seimbang demi kelangsungan hidup sehingga tamat semester. Rata-rata mahasiswa berharap agar satu mekanisme penyelarasan harga dapat diwujudkan segera, termasuklah memperkasakan inisiatif seperti 'Menu Rahmah' yang lebih konsisten di setiap kafe universiti.