Kempen FYP “Bijak Digital” Tingkat Kesedaran Keselamatan Dan Literasi Digital Dalam Kalangan Komuniti



Gambar: Sebilangan pensyarah JKOM bersama pelajar-pelajar FYP Kempen. Sumber: Ahli Jawatankuasa Bijak Digital

Oleh: Shalin Binti Mohd Sam & Dr. Ahmad Sauffiyan bin Abu Hasan

Tanjong Malim, 15 Januari 2026— Pembentangan Final Year Project (FYP) bertemakan “Bijak Digital” oleh pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Sosial, Jabatan Komunikasi dan Media (JKOM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah diadakan bagi melaporkan pelaksanaan kempen literasi digital yang bertujuan meningkatkan tahap pengetahuan, sikap dan amalan keselamatan digital dalam kalangan pelajar serta komuniti setempat.

Kempen “Bijak Digital” merupakan projek tahun akhir yang dilaksanakan sepanjang semester bagi menangani cabaran penggunaan teknologi tanpa kawalan selari dengan peningkatan capaian internet, khususnya dalam kalangan pelajar dan komuniti luar bandar. Antara objektif utama kempen ini ialah meningkatkan literasi digital dengan penekanan terhadap keselamatan siber, perlindungan data peribadi serta pembentukan sikap bertanggungjawab dan beretika dalam interaksi maya.

Menurut Muhammad Athif Syukri, wakil Unit Penilaian dan Analisis, pembentangan FYP memberi ruang kepada pelajar untuk melaporkan keberkesanan kempen yang telah dijalankan.“Kami membentangkan laporan lengkap setiap kempen termasuk jumlah penyertaan, peruntukan bajet, sokongan penaja serta tahap kejayaan aktiviti yang dijalankan sepanjang semester,” katanya ketika ditemu bual.

Sementara itu, Clarissa John, wakil Unit Media, menjelaskan bahawa kempen tersebut turut melibatkan pelbagai aktiviti interaktif bagi memberi pengalaman langsung kepada komuniti sasaran. “Pendekatan seperti bengkel, ceramah, simulasi dan pertandingan digital digunakan untuk menggalakkan amalan penggunaan teknologi yang selamat, kreatif dan beretika,” jelasnya.

Selain aspek pengetahuan, kempen ini turut menekankan pembentukan sikap digital yang sihat serta keseimbangan antara dunia digital dan realiti bagi menjaga kesejahteraan mental, fizikal dan emosi pengguna.

Secara keseluruhannya, Kempen FYP “Bijak Digital” membuktikan bahawa penyelidikan akademik mampu diterjemahkan kepada inisiatif komuniti yang berimpak, sekali gus menyumbang ke arah pembentukan masyarakat yang lebih celik digital, beretika dan bersedia menghadapi cabaran era teknologi moden.