Kempen Rumah Hijau Capai Objektif Semai Kesedaran Alam Sekitar di UPSI

Oleh Wan Nur Izzah Binti Wan Roslan & Dr Ahmad Sauffiyan Bin Abu Hasan 

Tanjong Malim - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui pelajar tahun akhir AB14 – Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Komunikasi Sosial) telah menganjurkan Kempen Rumah Hijau:  Tanam Harapan, Siram Kebaikan, Tuai Kehijauan di Gerbang Suria Arena, UPSI pada 17  Disember 2025, berjaya mencapai objektifnya dalam menggalakkan warga kampus mencintai dan  melestarikan alam sekitar.

Kempen yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 1 petang di Gerbang Suria Arena, UPSI itu  menerima penyertaan aktif mahasiswa yang menunjukkan sokongan terhadap usaha kelestarian  kampus. Program ini dilaksanakan sebagai inisiatif kesedaran bagi memupuk amalan hijau dalam  kalangan warga UPSI, termasuk mahasiswa dan staf seperti penanaman tumbuhan dan pengurusan  sumber secara lestari. Selain itu, kempen ini turut memberi pendedahan ilmu tentang kepentingan  menjaga alam sekitar sebagai sebahagian daripada gaya hidup seharian. 

Pengarah program, Nur Dini Adha binti Abdul Shukor, meluahkan rasa syukur atas sambutan  positif yang diterima sepanjang penganjuran kempen tersebut. 

“Saya sangat bersyukur kerana kempen ini mendapat sambutan yang baik daripada warga UPSI.  Walaupun UPSI sememangnya dikenali sebagai kampus mesra alam, usaha berterusan seperti ini  penting untuk memastikan kesedaran itu terus dipraktikkan,” katanya. 

Beliau turut menegaskan bahawa bahawa kempen ini bukan sekadar program bermusim,  sebaliknya bertujuan menyemai sikap tanggungjawab terhadap alam sekitar dalam jangka masa  panjang. 

“Saya berharap agar warga UPSI dapat meneruskan usaha ini dalam kehidupan seharian, sama ada  melalui amalan kitar semula, pengurangan penggunaan plastik atau menjaga kebersihan  persekitaran kampus,” tambahnya. 

Kesimpulannya, kejayaan Kempen Mini Rumah Hijau UPSI di Gerbang Suria Arena  membuktikan bahawa usaha mahasiswa mampu menyumbang kepada misi hijau universiti, sekali  gus memperkukuh komitmen terhadap kelestarian demi masa depan yang lebih seimbang.