Gambar sumber Berita Harian Online
KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MoF) menarik balik kelayakan penerimaan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) diberikan kepada seorang lelaki yang mengaku memiliki enam rumah sewa.
MoF memaklumkan kepada Buletin TV3 bahawa lelaki itu kini disiasat di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 kerana disyaki gagal mengisytiharkan pendapatan sewaan.
"Siasatan lanjut telah dijalankan dan mendapati bahawa pemilikan hartanah terbabit adalah benar.
"Berdasarkan maklumat pindah milik yang direkodkan dalam sistem e-Duti Setem Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), hartanah berkenaan didaftarkan atas nama penerima dan pasangan beliau.
"Berdasarkan siasatan dan penemuan ini, kelulusan STR dan SARA beliau telah ditarik balik," menurut MoF.
Sebelum ini, tular di media sosial hantaran seorang lelaki mendedahkan beliau menerima bantuan STR dan SARA berjumlah RM1,900 setahun, selain mengaku memiliki enam hartanah sewaan yang dibeli sejak 2007.
Hantaran itu mencetuskan reaksi dalam kalangan masyarakat yang menggesa pemilikan hartanah diambil kira sebagai satu kriteria kelayakan bantuan kerajaan.
MoF mengingatkan semua pemohon agar memberikan maklumat yang tepat dan benar dalam permohonan bantuan kerajaan.
Sekiranya didapati wujud maklumat palsu atau tidak tepat, tindakan undang-undang boleh diambil, selain kerajaan berhak menarik balik mana-mana bantuan yang diluluskan. - sumber BH
