Konsert Gendang Pati M. Nasir Angkat Nilai Seni dan Pendedahan Industri di UPSI

 

sumber : Media UPSI

oleh: Steffenney Kujee Anak Doggie & Dr Ahmad Sauffiyan Abu Hasan

TANJUNG MALIM, 18 Januari 2026 – Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bergema dengan alunan seni apabila konsert Gendang Pati yang menampilkan tokoh seni tanah air, M. Nasir, berjaya menarik kehadiran ratusan penonton pada malam 17 Januari 2026 , semalam.

Konsert anjuran Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) itu merupakan kesinambungan kepada pementasan asal Gendang Pati yang pernah dipersembahkan lebih dua dekad lalu. Namun, penganjuran kali ini diberi pembaharuan dari segi susunan muzik dan konsep persembahan agar selari dengan perkembangan semasa serta konteks universiti sebagai institusi pendidikan.

Menurut M. Nasir, konsert tersebut bukan sekadar hiburan pentas, malah berfungsi sebagai platform pendidikan tidak formal kepada pelajar dalam memahami realiti industri muzik yang sebenar, khususnya dari aspek tahap persembahan dan disiplin kerja profesional.

“Tahap persembahan industri dengan peringkat pelajar memang berbeza. Jadi saya ingin memberikan satu pendedahan yang sebenarnya mahal nilainya. Melalui konsert ini, pelajar dapat melihat dan memahami bagaimana dunia profesional berfungsi tanpa perlu keluar jauh dari universiti,” katanya pada sidang media selepas pengumuman konsert itu, di sini, semalam.

Beliau turut memaklumkan bahawa konsert berkenaan melibatkan kerjasama pelajar UPSI daripada pelbagai kumpulan, termasuk Devokalis selaku kumpulan koir rasmi universiti, selain pasukan gendang dan tarian yang mengiringi persembahan utama. Penglibatan ini secara tidak langsung memberi peluang kepada pelajar untuk terlibat secara langsung dalam produksi berskala besar dan bertaraf industri.


sumber: Media UPSI

Sepanjang konsert yang bermula sekitar jam 8.30 malam itu, penonton disajikan dengan rangkaian lagu yang sarat dengan elemen falsafah, spiritual dan kemanusiaan. Susunan muzik yang mantap serta penggunaan pencahayaan pentas yang dramatik berjaya mewujudkan suasana persembahan yang penuh penghayatan dan emosi.

Hadir sama dalam konsert tersebut ialah pelajar, pensyarah, kakitangan universiti serta peminat muzik dari luar kampus, sekali gus mencerminkan daya tarikan karya seni M. Nasir yang bersifat universal dan merentas generasi.

sumber : Media UPSI


Secara keseluruhan, konsert Gendang Pati yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor UPSI bukan sahaja berperanan sebagai medium hiburan, malah berjaya memperkukuh apresiasi seni, budaya dan profesionalisme dalam kalangan warga UPSI, selaras dengan aspirasi universiti dalam melahirkan graduan holistik dan berdaya saing.

Steffenney Kujee Anak Doggie Dan pelajar tahun akhir Komunikasi Sosial UPSI dan Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hasan pensyarah UPSI.