Gambar diambil oleh Nurqaisara Afrina
oleh: Chiang Tze Hong & Dr. Ahmad Sauffiyan Bin Abu Hasan
Ipoh ,16 Januari 2026 — Persatuan Komunikasi (PERKOM) Universiti Pendidikan Sultan Idris telah menganjurkan sebuah majlis makan malam berprestij bertemakan Met Gala bagi meraikan pelajar Semester 5 kursus Komunikasi Sosial yang bakal menjalani latihan industri, sekali gus menjadi platform penghargaan sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan sebenar.
Majlis GALA yang berlangsung dalam suasana penuh emosi dan gilang-gemilang itu dianjurkan oleh Persatuan Komunikasi UPSI sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen dan dedikasi pelajar sepanjang lima semester pengajian. Program ini bertujuan meraikan pencapaian akademik pelajar serta mengukuhkan hubungan antara pelajar, fakulti dan rakan kolaborasi industri.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Mazura Mastura, dan Ketua Jabatan Komunikasi, Serina Yusuf. Turut hadir ialah kakitangan fakulti, rakan industri serta pelajar junior dari Semester 1 dan 3 yang bersama-sama meraikan kejayaan para senior.
Dalam ucapannya, Prof. Madya Dr. Mazura menekankan kepentingan menjaga integriti dan imej fakulti ketika menjalani latihan industri. Beliau mengingatkan pelajar agar mengamalkan nilai profesionalisme, etika kerja dan komunikasi berkesan sepanjang berada di organisasi masing-masing.
Majlis yang digarap dengan elemen fesyen tinggi itu turut memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi secara langsung dengan pengamal industri melalui sesi jaringan profesional. Pendekatan ini dilihat mampu memberi pendedahan awal kepada pelajar tentang budaya profesional dan etika sosial dalam persekitaran kerja sebenar.
Bagi pelajar Semester 5, majlis ini menjadi simbol peralihan penting daripada kehidupan kampus ke dunia industri. Walaupun bakal berpisah dengan persekitaran akademik di Tanjong Malim, kenangan dan pengalaman yang dikongsi sepanjang pengajian di UPSI diharap menjadi bekalan berharga dalam membentuk jati diri dan kerjaya profesional mereka pada masa hadapan.