Mini Kempen Green Bag, Green Talk Dialogue Perkasa Budaya Hijau di Kampus

 

Oleh Nurul Asyiqin binti Samsul Kamal & Dr Ahmad Sauffiyan Abu Hasan

TANJONG MALIM, 20 Disember — Kesedaran terhadap kepentingan amalan mesra alam dalam kalangan warga kampus terus diperkukuhkan menerusi penganjuran Mini Kempen Green Bag, Green Talk Dialogue, salah satu inisiatif di bawah kempen Eco Campus 360: “One Campus, One Mission”, yang telah berlangsung di Dewan Kuliah Pusat 7 (DKP7), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Mini kempen ini memberi penekanan khusus terhadap usaha mengurangkan penggunaan beg plastik sekali guna, selaras dengan matlamat Eco Campus 360 untuk membentuk komuniti kampus yang lestari dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang ini berjaya menarik penyertaan pelajar daripada pelbagai fakulti serta latar belakang pengajian.

Sebagai inisiatif utama, pihak penganjur memperkenalkan penggunaan totebag sebagai alternatif mesra alam kepada beg plastik. Langkah ini bertujuan menggalakkan amalan penggunaan semula barangan dalam kehidupan seharian warga kampus, sekali gus mengurangkan penghasilan sisa plastik yang boleh mencemarkan alam sekitar.

Kempen ini turut diserikan dengan sesi Green Talk Dialogue yang menampilkan Puan Aini Oriza Binti Ramli, Pegawai Kawalan Kanan dari Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak, sebagai panel jemputan khas. Beliau berkongsi ilmu berkaitan eco-friendly behaviour, termasuk kepentingan amalan reduce, reuse and recycle, serta peranan individu dalam memelihara kelestarian alam sekitar. Sesi dialog yang berlangsung secara interaktif ini memberi pendedahan bermakna kepada para peserta mengenai tanggungjawab bersama dalam menjaga alam sekitar.

Menurut Timbalan Pengarah Program, Shafiqah Ashikin, penganjuran mini kempen ini bertujuan membentuk kesedaran jangka panjang dalam kalangan pelajar. “Kami ingin menanam pemahaman bahawa perubahan kecil seperti membawa totebag sendiri mampu memberi impak besar kepada alam sekitar. Diharapkan inisiatif ini dapat membentuk tabiat hijau yang berterusan dalam kalangan warga kampus,” katanya.

Selain sesi perkongsian ilmu, program ini turut menganjurkan beberapa aktiviti menarik seperti aktiviti DIY totebag, cabutan bertuah serta penyampaian hadiah totebag eksklusif edisi batik jenis shoulder bag kepada para pemenang, yang disempurnakan oleh tetamu jemputan. Pelbagai manfaat turut ditawarkan kepada peserta termasuk e-sijil penyertaan, mata merit kampus, jamuan ringan serta hadiah menarik.

Secara keseluruhannya, Mini Kempen Green Bag, Green Talk Dialogue berjaya mencapai objektif penganjurannya sebagai platform kesedaran alam sekitar dan pemangkin kepada pembudayaan gaya hidup hijau dalam kalangan warga UPSI, selari dengan visi Eco Campus 360 untuk mewujudkan kampus yang lebih lestari dan mampan.