Oleh : Alia Nurshazlen Azmi dan Dr Ahmad Sauffiyan Hasan
TANJONG MALIM, 14 Januari – Pelajar Program Psikologi Semester 3, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan sebuah pameran akademik di Blok 8 yang memfokuskan kepada sistem deria dan tindak balas badan manusia terhadap rangsangan persekitaran.
Pameran yang berlangsung sepanjang hari itu memaparkan pelbagai bahan visual, model anatomi serta aktiviti interaktif bagi menerangkan bagaimana deria seperti penglihatan, pendengaran, sentuhan, bau dan rasa berfungsi dalam menghantar maklumat ke otak serta mempengaruhi tingkah laku manusia.
Menurut wakil penganjur, pameran ini bertujuan membantu pelajar memahami dengan lebih mendalam hubungan antara sistem saraf, deria dan emosi, di samping mengaplikasikan teori psikologi yang dipelajari dalam bentuk yang lebih praktikal.
Selain meningkatkan kemahiran komunikasi dan kerja berpasukan dalam kalangan pelajar, program ini turut memberi pendedahan kepada warga kampus mengenai kepentingan penjagaan kesihatan deria serta kesannya terhadap kesejahteraan mental.
Pihak fakulti menyifatkan penganjuran pameran ini sebagai satu pendekatan pembelajaran berimpak tinggi yang mampu meningkatkan kefahaman pelajar secara holistik serta melahirkan graduan yang lebih peka terhadap fungsi tubuh manusia dalam konteks psikologi.
Pameran tersebut menerima sambutan menggalakkan daripada pelajar dan kakitangan universiti yang hadir untuk mendapatkan maklumat serta mencuba sendiri aktiviti berkaitan tindak balas deria yang disediakan.