Pengiktirafan terhadap kecemerlangan pelajar merupakan elemen penting dalam membentuk graduan yang seimbang dari segi akademik, kepimpinan dan penglibatan aktif. Penganjuran majlis anugerah bukan sahaja menghargai pencapaian pelajar, malah berfungsi sebagai platform motivasi untuk melahirkan pelajar yang progresif dan bersedia menghadapi cabaran industri. Saya sendiri telah memperoleh Outstanding Social Communication Student Award pada malam tersebut dan ini telah membuktikan bahawa hasil kerja saya selama berada di Universiti membawa hasil.
Majlis Comm Gala Night 2026 yang berlangsung pada 16 Januari 2026 di Hotel Casuarina, Meru, Ipoh telah meraikan pelbagai kategori kecemerlangan pelajar dalam bidang Komunikasi Sosial. Antara anugerah yang disampaikan adalah Anugerah Dekan, Anugerah Kepimpinan, Anugerah Akademik serta Outstanding Social Communication Student Award, yang mengiktiraf pencapaian menyeluruh pelajar dari aspek akademik, penglibatan program dan pembangunan diri.
Pengiktirafan seperti Outstanding Social Communication Student Award mencerminkan keperluan melahirkan pelajar komunikasi yang bukan sahaja cemerlang dalam bilik kuliah, tetapi juga aktif mengaplikasikan kemahiran komunikasi dalam situasi sebenar. Bidang komunikasi menuntut keupayaan berinteraksi, memimpin dan menyesuaikan diri dengan persekitaran profesional yang dinamik.
Selain itu, penganjuran majlis anugerah ini turut menyemai budaya persaingan sihat dan semangat kecemerlangan dalam kalangan pelajar. Ia memberi mesej jelas bahawa usaha berterusan, komitmen dan penglibatan aktif pelajar diberi perhatian serta dihargai oleh institusi.
Kesimpulannya, pengiktirafan akademik dan kepimpinan melalui majlis seperti Comm Gala Night wajar diteruskan sebagai sebahagian daripada ekosistem pendidikan tinggi. Pendekatan ini bukan sahaja membina keyakinan pelajar, malah menyumbang kepada pembentukan graduan komunikasi yang berkualiti, berdaya saing dan relevan dengan keperluan semasa.
Shafiqah Adriana Binti Kamaruzzaman pelajar tahun akhir Komunikasi Sosial UPSI dan Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hasan pensyarah UPSI.

