728 Mata Champ bukan sekadar angka, tetapi bukti komitmen, pengalaman dan jaringan yang dibina sepanjang tiga tahun pengajian di UPSI.
NurShafiqah Ashikin Binti Judding & Ahmad Sauffiyan Abu Hasan
Seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang aktif dalam pelbagai program universiti membuktikan penglibatan kokurikulum mampu memberi impak besar kepada pembangunan diri sepanjang pengajian.
Saudari Siti Raudah Binti Muhammad Kusairi, pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Komunikasi Sosial) dengan Kepujian, telah berjaya mengumpul sebanyak 728 Mata Champ sepanjang tempoh tiga tahun pengajian di UPSI hasil penglibatan konsisten dalam pelbagai aktiviti dan program pelajar.
Menurut Siti Raudah, penglibatan aktifnya dalam program universiti didorong oleh keinginan untuk menimba pengalaman di luar bilik kuliah serta membina jaringan hubungan yang luas. “Bagi saya, penglibatan dalam program memberi peluang untuk belajar perkara baharu, meningkatkan kemahiran insaniah dan pada masa yang sama membina connection yang sangat berguna untuk masa hadapan,” katanya ketika ditemu bual.
Tambah beliau, setiap program yang disertai membuka ruang untuk berinteraksi dengan pelajar daripada pelbagai latar belakang serta pihak luar, sekali gus membantu meningkatkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi dan kepimpinan.
Kejayaan mengumpul 728 Mata Champ ini membuktikan komitmen tinggi beliau terhadap aktiviti universiti serta menjadi contoh kepada pelajar lain agar tidak hanya menumpukan kepada akademik semata-mata, sebaliknya memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan sepanjang bergelar mahasiswa.
Penglibatan aktif pelajar seperti Siti Raudah selari dengan aspirasi UPSI dalam melahirkan graduan holistik, seimbang dari segi akademik dan kokurikulum.