Program Outreach Meraki Tanah Aki yang dijalankan di 10 zon Sabah pada 25 Februari hingga 1 Mac di bawah Persatuan Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (IKSAS)
Oleh: Rogayah Mamat dan Dr Ahmad Sauffiyan Abu Hasan
Tanjong Malim, 25 Februari 2026 - Program Outreach Meraki Tanah Aki merupakan inisiatif mahasiswa IKSAS yang dilaksanakan dari 25 Februari hingga 1 Mac 2026 secara berfasa di 10 zon seluruh Sabah, melibatkan satu sekolah menengah terpilih bagi setiap zon. Hal ini bagi memperkenalkan
UPSI serta memberi pendedahan awal kepada pelajar tentang pendidikan tinggi. Melalui pendekatan turun padang dan sesi perkongsian secara langsung, program ini berjaya mendekatkan maklumat universiti kepada pelajar sekolah dengan lebih berkesan.
Temu bual bersama Caronella Jamis, 22 selaku Timbalan Exco IKSAS berkenaan pelaksanaan Outreach Meraki Tanah Aki di 10 zon Sabah
Menurut Caronella Jamis, pelajar semester 4, Fakulti Bahasa dan Komunikasi dalam bidang Komunikasi Sosial serta Timbalan Exco Bahasa Kadazandusun Persatuan Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (IKSAS), berkongsi pengalaman sepanjang menjayakan program Outreach Meraki Tanah Aki. Beliau berasa gembira melihat sambutan yang positif daripada pelajar dan guru di setiap zon. Pelajar kelihatan seronok dan teruja mengikuti sesi interaktif, manakala guru pula menghargai kehadiran program kerana baru sahaja mengetahui kewujudan program seperti ini. Caronella turut menekankan bahawa pengalaman melihat pelajar memperoleh pendedahan awal tentang UPSI dan peluang pendidikan tinggi memberi kepuasan tersendiri, sekaligus memotivasikan beliau untuk terus menjayakan misi outreach di lebih banyak sekolah pada masa akan datang.
Walau bagaimanapun, menurut Caronella Jamis, pelaksanaan program di beberapa zon tidak terlepas daripada cabaran, terutamanya banjir yang menjejaskan pengangkutan ke sekolah tertentu. Beliau menjelaskan, “Beberapa sekolah yang mengalami masalah banjir terpaksa diubah tentatif bagi memastikan keselamatan pelajar dan pasukan, tetapi kami tetap berusaha untuk memastikan setiap sesi dapat dijalankan dengan baik.”
Sementara itu, Arlyenah Musah, 22, salah seorang AJK program, turut berkongsi bahawa beliau berasa sangat berpuas hati dengan kejayaan pasukan menamatkan program ini dengan jayanya. Pengalaman ini telah memberi motivasi tambahan untuk beliau dalam meneruskan inisiatif serupa pada masa hadapan.
Kesimpulannya, program Outreach Meraki Tanah Aki telah berjaya memperkenalkan UPSI dan IKSAS kepada pelajar sekolah menengah di Sabah. Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran tentang pendidikan tinggi, malah membina hubungan yang lebih erat antara institusi pengajian tinggi dan komuniti sekolah. Kejayaan program ini diharapkan dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk merancang masa depan akademik mereka dengan lebih jelas dan berkesan.