Oleh: Muhamad Alif Haikal
TANJUNG MALIM – Di sebalik kepesatan industri automotif dan kesibukan jadual kuliah mahasiswa, daerah Muallim sebenarnya menyimpan seribu satu khazanah alam dan lokasi estetik yang jarang diterokai oleh orang luar. Bagi mereka yang menganggap Tanjung Malim hanyalah sebuah pekan yang membosankan, tanggapan itu pastinya meleset jika mereka mula menerokai tujuh “hidden gems” yang menawarkan kedamaian, keunikan kulinari, dan nilai estetika yang tinggi.
Lokasi tersembunyi pertama ialah Lata Geliting dan Lubuk Kawah. Terletak jauh sedikit daripada laluan utama, jeram air sungai di sini sangat jernih dan dikelilingi oleh hutan hujan tropika yang masih dara, menjadikannya lubuk terbaik untuk aktiviti perkhemahan ekstrem dan juga jungle trekking. Seterusnya, lokasi kedua ialah Kawasan Warisan Sungai Bil yang mengekalkan suasana perkampungan Melayu tradisional yang sangat mendamaikan, lengkap dengan dusun buah-buahan bermusim.
Pintu gerbang utama Kawasan Warisan Sungai Bil yang mengekalkan suasana perkampungan Melayu tradisional dan persekitaran yang mendamaikan untuk para pengunjung.
Bagi mengulas potensi lokasi ini, seorang mahasiswa tahun akhir yang gemar melakukan aktiviti rekreasi, Saudara Khairul Anuar, 23, menjelaskan bahawa tempat-tempat ini masih mengekalkan ekosistem yang bersih kerana belum menerima lambakan pelancong yang terlalu ramai.
"Tanjung Malim mempunyai topografi yang unik kerana terletak di kaki Banjaran Titiwangsa. Tempat seperti Lubuk Kawah ini memerlukan sedikit usaha trekking untuk sampai, tetapi keindahan airnya yang berwarna kehijauan sangat berbaloi untuk para pelajar yang mencari ketenangan selepas minggu kuliah yang padat," kata Khairul.
Sektor kulinari juga menyimpan rahsianya yang tersendiri. Hidden gem ketiga dan keempat ialah Kedai Kopi Chong Kok yang menawarkan budaya sarapan muhibah tiga kaum yang autentik sejak berpuluh tahun lalu, serta kedai makan Nasi Set talam tepi sawah di pinggir pekan yang jarang ditemui oleh pelajar luar. Suasana makan di tepi bendang memberikan pengalaman yang sangat berbeza dan menarik bagi setiap pengunjung yang datang.
Bagi pencinta aktiviti santai pada waktu petang, Taman Tasik Emkay dan Laluan Berbasikal Proton City juga menjanjikan pemandangan matahari terbenam yang memukau dengan pantulan cahaya pada permukaan tasik yang tenang. Lokasi terakhir yang jarang disebut tetapi mempunyai nilai estetika tinggi ialah Galeri Seni UPSI di kampus lama, yang menyimpan ratusan karya seni visual, arca, dan tekstil bernilai tinggi hasil kurasi anak tempatan dan tokoh seni negara.
Seorang mahasiswi UPSI, Nurul Syazwani, 22, berkongsi pengalamannya menerokai lokasi-lokasi ini sepanjang tempoh pengajiannya.
"Mula-mula datang sini, saya ingat cuma ada perpustakaan dan kedai makan biasa. Tapi selepas kawan membawa saya ke Laluan Berbasikal Proton City waktu senja, baru saya sedar pekan ini sangat cantik. Tempat-tempat 'hidden gems' ini yang selalu menyelamatkan saya daripada tekanan belajar," ujarnya dengan senyuman.
Keindahan panorama matahari terbenam dengan pantulan cahaya pada permukaan air yang tenang di Taman Tasik Proton City.
Kewujudan khazanah-khazanah tersembunyi ini membuktikan bahawa Tanjung Malim bukan hanya sekadar sebuah pekan transit yang dilalui untuk ke destinasi lain, tetapi juga sebagai sebuah destinasi pelancongan domestik yang kaya dengan nilai warisan, alam semula jadi, dan ketenangan yang tersendiri.