Pelajar membeli sarapan
Oleh: Mayveline anak Nakan & Dr. Ahmad Sauffiyan
Tanjong Malim - Dalam kesibukan jadual harian di kampus, ramai pelajar sering berdepan dengan kekangan masa untuk menikmati makanan yang mengenyangkan. Dari satu kelas ke kelas yang lain, ada kalanya mereka tidak sempat singgah ke kafeteria. Situasi ini menjadikan kewujudan sebuah gerai kuih di kawasan kampus sebagai “penyelamat” kepada pelajar yang kelaparan.
Terletak di lokasi yang sangat strategik, iaitu di antara Blok 9 dan Blok 10, gerai ini menjadi tumpuan kerana berada di laluan utama pelajar untuk pergi ke kelas setiap hari. Kedudukan ini memudahkan pelajar untuk singgah tanpa perlu melencong jauh. Gerai ini beroperasi dari hari Isnin hingga Jumaat, bermula seawal jam 8 pagi hingga 5 petang, sekali gus memberi peluang kepada pelajar mendapatkan makanan pada bila-bila masa yang sesuai.
Antara tarikan utama gerai ini ialah kepelbagaian menu sarapan yang ditawarkan. Pelajar boleh memilih daripada hidangan seperti mee goreng, chicken wrap, kek batik, sandwich, nasi lemak, bubur ayam serta pelbagai jenis kuih tradisional. Selain rasanya yang enak, harga yang ditawarkan juga berpatutan dan sesuai dengan bajet pelajar. Konsep makanan yang cepat dan mudah dibawa menjadikan gerai ini pilihan utama bagi pelajar yang sentiasa bergerak.
Gerai ini sentiasa dipenuhi pelajar terutamanya pada waktu rehat dan pertukaran kelas. Ramai yang singgah untuk membeli sarapan atau sekadar mengalas perut sebelum masuk ke kelas seterusnya. Suasana di sekitar gerai sentiasa meriah kerana lokasinya yang strategik dan mudah diakses oleh pelajar dari pelbagai fakulti.
Menurut seorang pelajar, “Kalau tak sempat makan berat, gerai ni memang penyelamat. Banyak pilihan, cepat dan sedap.” Pandangan ini jelas menunjukkan peranan penting gerai ini dalam kehidupan seharian pelajar di kampus.
Walaupun mendapat sambutan yang menggalakkan, peniaga gerai ini turut berdepan cabaran seperti memastikan bekalan makanan mencukupi sepanjang hari serta mengekalkan kualiti setiap hidangan. Namun, usaha dan komitmen yang ditunjukkan membolehkan gerai ini terus menjadi tumpuan ramai.
Kesimpulannya, gerai ini bukan sahaja sekadar tempat membeli makanan, malah menjadi penyelesaian kepada masalah pelajar yang kesuntukan masa. Dengan lokasi yang strategik, pelbagai pilihan menu dan waktu operasi yang fleksibel, tidak hairanlah gerai ini terus menjadi “penyelamat” utama antara kelas dan rasa lapar.