Belajar atau Bertahan? Kisah Seorang Pelajar Menghadapi Kos Hidup di Tanjong Malim


                                    Temu bual bersama Nurul Saffiya Sasha 


Oleh: Rogayah Mamat, Nurin Alifah dan Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hasan


Tanjong Malim - Di sebalik suasana tenang bandar pendidikan, realiti kehidupan pelajar tidak selalu seindah yang digambarkan. Bagi Nurul Saifiyya Sasha, pelajar semester keenam Pendidikan Khas di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), cabaran utama bukan sekadar akademik, tetapi bagaimana untuk bertahan dengan kos hidup yang semakin menekan.

Menetap di kawasan Taman U berhampiran laluan pengangkutan kampus lama, Sasha berkongsi rumah dua tingkat bersama tujuh pelajar lain. Setiap seorang perlu membayar sewa sebanyak RM250 sebulan. Walaupun berkongsi untuk mengurangkan beban, kos tersebut tetap memberi tekanan apabila digabungkan dengan perbelanjaan harian yang lain.

Bagi menampung keperluan, Sasha bekerja sambilan di sebuah kedai runcit berhampiran kawasan perumahannya pada hari tiada kelas dan cuti. Adakalanya Sasha juga terpaksa menggantikan pekerja lain yang tidak dapat hadir, yang menyebabkan masa terluang sangat terhad. “PTPTN sahaja tak cukup untuk menanggung semua. Dengan kerja part-time, sekurang-kurangnya saya boleh menampung makan dan perbelanjaan asas,” jelasnya. Malah, dia juga perlu membeli peralatan pembelajaran, menambah lagi beban kewangan yang ditanggung.

Namun, usaha untuk berdikari ini datang dengan pengorbanan. Sasha mengakui hanya makan dua kali sehari bagi mengelakkan pembaziran. Lebih mencabar, jadual kerja yang kadangkala berlanjutan hingga malam menyebabkan dia keletihan dan sukar menyiapkan tugasan. “Kadang-kadang balik kerja memang penat, terus tak larat nak buat assignment,” katanya.

Selain itu, kehidupan sosialnya turut terjejas. Dia jarang meluangkan masa bersama rakan-rakan dan hanya mampu berasa cemburu melihat orang lain menikmati kehidupan kampus yang lebih santai. “Lepas kelas, saya terus kerja atau balik ke rumah. Memang tak sempat nak lepak macam orang lain,” tambahnya.

Walaupun begitu, Sasha melihat sisi positif dalam pengorbanannya. Kewangan yang lebih stabil membolehkannya menampung keseluruhan perbelanjaan sepanjang semester tanpa perlu bergantung kepada ibu bapa yang masih menanggung adik-adiknya yang bersekolah.

Kisah Sasha mencerminkan realiti yang dihadapi oleh ramai pelajar hari ini, iaitu dalam mengejar kejayaan akademik dan memastikan kelangsungan hidup yang baik. Dalam diam, mereka berjuang untuk bertahan, membuktikan bahawa di sebalik gelaran pelajar, terselit satu tanggungjawab yang jauh lebih besar.