Temubual bersama Athirah, 23 tahun
Oleh: Nurin Alifah Ilyana Suhaimi & Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hasan
Tanjong Malim - Dalam era globalisasi dan kemajuan teknologi maklumat, penyebaran berita berlaku dengan begitu pantas melalui pelbagai platform digital seperti media sosial, aplikasi pesanan segera, dan laman web. Walaupun perkembangan ini membawa banyak manfaat dalam memudahkan akses kepada maklumat, ia juga membuka ruang luas kepada penyebaran berita palsu atau fake news. Fenomena ini semakin membimbangkan kerana ia bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah boleh menggugat keharmonian sosial dan kestabilan negara.
Berita palsu merujuk kepada maklumat yang tidak benar, tidak tepat, atau sengaja direka untuk mengelirukan orang ramai. Ia sering disebarkan tanpa semakan fakta dan kadangkala bertujuan untuk mendapatkan perhatian, mempengaruhi persepsi, atau mencetuskan emosi tertentu dalam kalangan masyarakat. Dalam konteks ini, dua orang responden telah ditemu bual bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai isu ini serta kesannya terhadap masyarakat.
Responden pertama, Athirah, seorang pelajar dari Fakulti Pembangunan Ekonomi (FPE) berusia 23 tahun, menyatakan bahawa berita palsu merupakan satu masalah yang serius
dalam kalangan pengguna media sosial. Menurut beliau, ramai individu cenderung untuk mempercayai sesuatu maklumat tanpa menyemak kesahihannya terlebih dahulu, terutamanya apabila berita tersebut disampaikan dalam bentuk yang menarik atau sensasi. Athirah turut mengakui bahawa beliau pernah terpengaruh dengan satu berita berkaitan kesihatan yang tular di media sosial. Pada awalnya, beliau mempercayai maklumat tersebut kerana ia dikongsi secara meluas, namun selepas membuat semakan lanjut, beliau mendapati bahawa berita itu sebenarnya tidak benar.
Pengalaman tersebut membuka mata Athirah tentang pentingnya sikap berhati-hati dalam menerima maklumat. Beliau berpendapat bahawa berita palsu boleh menyebabkan panik dalam kalangan masyarakat, terutamanya apabila melibatkan isu sensitif seperti wabak penyakit, keselamatan awam, atau bencana alam. Selain itu, penyebaran berita palsu juga boleh menyebabkan salah faham antara individu atau kumpulan tertentu, sekali gus menjejaskan hubungan sosial dalam masyarakat. Oleh itu, Aisyah menekankan kepentingan merujuk kepada sumber yang sahih seperti laman berita rasmi dan agensi kerajaan sebelum mempercayai atau menyebarkan sesuatu maklumat.
Sementara itu, responden kedua, Hafiz pelajar Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) program TESL, 22 tahun, turut berkongsi pandangan yang hampir sama. Beliau berpendapat bahawa penyebaran berita palsu semakin sukar dikawal disebabkan oleh penggunaan media sosial yang meluas dan kurangnya kesedaran dalam kalangan pengguna. Menurut Hafiz, sesiapa sahaja kini boleh menjadi penyebar maklumat tanpa perlu melalui proses tapisan atau pengesahan, sekali gus meningkatkan risiko penyebaran berita palsu.
Hafiz juga menegaskan bahawa kesan berita palsu tidak boleh dipandang ringan. Antara kesan yang dikenal pasti termasuklah berlakunya pergaduhan, salah faham, dan kerosakan reputasi individu atau organisasi. Sebagai contoh, satu tuduhan palsu yang tersebar di media sosial boleh menyebabkan seseorang individu dipandang serong oleh masyarakat walaupun maklumat tersebut tidak benar. Dalam jangka masa panjang, perkara ini boleh memberi kesan kepada emosi, kerjaya, dan kehidupan sosial individu tersebut.
Selain itu, berita palsu juga boleh memberi kesan kepada kestabilan ekonomi dan politik sesebuah negara. Maklumat yang tidak tepat mengenai sesuatu isu boleh menyebabkan ketidakpercayaan terhadap institusi tertentu, sekali gus menjejaskan keyakinan masyarakat. Dalam situasi tertentu, penyebaran berita palsu juga boleh mencetuskan panik yang tidak perlu, seperti pembelian panik (panic buying) atau penyebaran ketakutan dalam kalangan masyarakat.
Bagi mengatasi masalah ini, Hafiz mencadangkan agar pendidikan literasi media diperkukuhkan dalam kalangan masyarakat, terutamanya golongan muda. Literasi media merujuk kepada keupayaan individu untuk menilai, menganalisis, dan memahami maklumat yang diterima secara kritis. Dengan adanya kemahiran ini, masyarakat dapat membezakan antara maklumat yang sahih dan tidak sahih, sekali gus mengurangkan penyebaran berita palsu.
Selain itu, peranan pihak berkuasa dan organisasi media juga amat penting dalam memastikan maklumat yang disebarkan adalah tepat dan boleh dipercayai. Tindakan tegas perlu diambil terhadap individu yang sengaja menyebarkan berita palsu bagi mengelakkan masalah ini daripada terus berleluasa. Pada masa yang sama, platform media sosial juga perlu memainkan peranan dengan memperkenalkan sistem penapisan atau amaran terhadap kandungan yang meragukan.
Kesimpulannya, berita palsu merupakan satu ancaman serius yang boleh memberi kesan negatif kepada pelbagai aspek kehidupan masyarakat. Berdasarkan temu bual yang dijalankan, jelas bahawa kesedaran mengenai isu ini semakin meningkat, namun masih banyak usaha yang perlu dilakukan untuk membendungnya. Oleh itu, setiap individu perlu memainkan peranan dengan lebih bertanggungjawab dalam menerima dan menyebarkan maklumat. Sikap berhati-hati, kesedaran, dan pendidikan yang berterusan adalah kunci utama dalam memastikan masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan berita palsu.