Oleh: Yusrina Aisyah Mohd Yusri & Dr Ahmad Sauffiyan Abu Hasan
TANJONG MALIM—Berita palsu atau fake news semakin menjadi isu membimbangkan dalam kalangan masyarakat hari ini. Berdasarkan satu temubual yang dijalankan, seorang responden menyatakan bahawa berita palsu ialah “maklumat yang tidak sahih dan tidak pasti kebenarannya tetapi tetap dikongsi kepada orang lain.”
Menurut sumber tersebut, antara keburukan utama berita palsu ialah ia boleh memecahbelahkan masyarakat dan menimbulkan pergaduhan. Hal ini kerana ramai individu mudah terpedaya dengan maklumat yang diterima tanpa menyemak kesahihannya terlebih dahulu.
Selain itu, sumber turut berpendapat bahawa berita palsu boleh menjejaskan keamanan negara. Situasi ini berlaku apabila masyarakat menjadi panik dan kelam-kabut akibat penyebaran maklumat yang tidak tepat, sekali gus menyebabkan keadaan tidak aman.
Dalam temubual tersebut juga, sumber menyatakan bahawa golongan yang paling mudah terpedaya ialah warga emas dan individu yang kurang pendedahan terhadap teknologi. Mereka lebih cenderung untuk mempercayai dan menyebarkan berita tanpa semakan.
Bagi mengatasi masalah ini, sumber mencadangkan agar masyarakat lebih teliti dalam menilai sesuatu berita dengan melihat sumber yang sahih, bertanya kepada orang sekeliling atau menggunakan platform yang dipercayai. Selain itu, kempen kesedaran juga perlu dipergiatkan bagi meningkatkan pengetahuan masyarakat.
Akhir sekali, sumber berpendapat bahawa tindakan tegas seperti denda, saman atau penjara perlu dikenakan kepada penyebar berita palsu sebagai langkah pencegahan.
Kesimpulannya, berita palsu memberi kesan besar kepada masyarakat dan negara, justeru semua pihak perlu memainkan peranan dalam membendung penyebarannya.