Suasana mahasiswa membancuh kopi
Oleh: Yusrina Aisyah Mohd Yusri dan Dr Ahmad Sauffiyan Abu Hasan
TANJUNG MALIM, — Suasana di Karnival Badan Pelajar di Gerbang Suria UPSI Kampus Sultan Azlan Shah bukan sahaja meriah dengan pelbagai aktiviti, malah turut dipenuhi aroma kopi yang menarik perhatian pengunjung. Di sebalik itu, terdapat mahasiswa yang bekerja sebagai pembantu booth kopi bagi mencari duit poket, memanfaatkan peluang karnival untuk menjana pendapatan sampingan sambil menimba pengalaman bekerja.
Bagi sesetengah mahasiswa, penglibatan dalam perniagaan ini bukanlah sepenuh masa, sebaliknya sekadar sebagai “helper” sambilan untuk mencari duit poket. Mereka hanya terlibat ketika berlangsungnya acara tertentu, namun pengalaman yang diperoleh jauh lebih bermakna daripada sekadar keuntungan.
Menurut seorang mahasiswa yang terlibat, minat terhadap bidang ini bermula daripada pengalaman sebagai barista. “Saya memang ada pengalaman buat kopi sebelum ini. Dari situ, ada orang yang approach, dan saya juga cuba R&D sendiri untuk improve lagi,” jelasnya. Penggunaan jenama seperti Reve Latte turut membantu memberikan identiti kepada produk yang ditawarkan.
Berbeza dengan peniaga lain, fokus utama mereka lebih kepada kopi berbanding makanan. Kepakaran dalam penyediaan minuman, termasuk seni latte art, menjadi kelebihan yang membezakan mereka daripada pesaing lain. Walaupun sebelum ini tidak mempunyai asas dalam penyediaan minuman blended, mereka tetap berusaha belajar dan menyesuaikan diri dengan permintaan pelanggan.
Dari perspektif pelanggan pula, kopi dilihat bukan sekadar minuman biasa, tetapi sebagai “energy booster” untuk memulakan atau mengakhiri hari. Faktor ini menjadikan booth kopi antara tarikan utama dalam karnival, dengan sambutan yang boleh dianggap memberangsangkan. Permintaan pelanggan yang konsisten juga menunjukkan bahawa trend ini mempunyai potensi untuk berkembang.
Menariknya, perniagaan ini tidak dirancang secara serius untuk dijalankan sepenuhnya di kampus. Sebaliknya, pendekatan yang lebih diminati adalah melalui kerjasama atau partnership. Situasi ini secara tidak langsung mewujudkan keadaan “win-win”, di mana mahasiswa dapat menimba pengalaman dan menjana pendapatan tanpa perlu menanggung komitmen penuh sebagai usahawan.
Bagi mereka, kejayaan tidak semestinya bermula dengan langkah besar. “Kalau nak mula, buat kecil-kecilan dulu. Walaupun tak ada basic, yang penting willing to learn,” ujarnya. Nasihat ini mencerminkan realiti sebenar dunia keusahawanan mahasiswa, bermula dari minat, belajar dari pengalaman, dan berkembang secara berperingkat.
Secara keseluruhannya, kehadiran booth kopi di karnival seperti ini bukan sekadar memenuhi trend semasa, tetapi turut membuka ruang kepada mahasiswa untuk mencuba, belajar dan berkembang. Dalam secawan kopi, tersimpan bukan sahaja rasa, tetapi juga peluang dan pengalaman yang berharga.