Riang dengan Ilmu: Pesta Buku UPSI 2025 jadi “Port Wajib” Pelajar!

Oleh: Yusrina Aisyah Mohd Yusri


Tanjung Malim, 15 Oktober 2025 - Baru-baru ini, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Pesta Buku UPSI 2025 yang berlangsung selama empat hari bermula 15 Oktober sehingga 18 Oktober di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI, Tanjung Malim, Perak. Acara tahunan ini telah mendapat sambutan hangat oleh pelbagai penerbit tempatan dan antarabangsa seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Karangkraf, dan PTS. Penerbit-penerbit buku turut membuka ruang dan peluang untuk memasarkan dan mempromosikan buku-buku ilmiah, motivasi, serta karya-karya kreatif tempatan. Warga UPSI terutamanya pelajar juga tidak melepaskan peluang mengambil bahagian melalui kelab dan persatuan masing-masing.


Pelbagai aktiviti menarik turut dianjurkan bagi memeriahkan lagi Pesta Buku UPSI 2025 ini. Antara aktiviti yang mendapat sambutan adalah FunTasia Ceria: Mari Menyanyi, Berteka-teki dan Berseni Origami bersama Cikgu Noor Sharizad Rohaizad dan Cikgu Naziroh Romli. Selain itu, pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan Drama Tari, Bicara Nahas Gerik, serta Forum: “Konflik Keluarga, Semangat Hidupku Luntur”. Terdapat acara lain yang turut mencuri tumpuan termasuk Library Fun Run, Fast Track: Becoming a Content Creator, Wacana Sasterawan Negara, persembahan oleh D’Anson Buskers, dan Night@Library. 


Tidak ketinggalan, gerai jualan makanan, minuman serta pakaian dengan tawaran diskaun hebat juga turut disediakan, di samping segmen kuiz berhadiah menarik bagi menggalakkan lagi penyertaan pengunjung. Aktiviti yang dijalankan sepanjang Pesta Buku UPSI 2025 ini bukan sahaja dapat menghiburkan pengunjung sebagai “Port Wajib” malah ianya turut memberi peluang kepada pelajar dan masyarakat setempat untuk menambah ilmu pengetahuan mereka. 


Sebagai kesimpulannya, Pesta Buku UPSI 2025 ini bukan sahaja merupakan inisiatif UPSI untuk memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat Tanjung Malim, malah ia dapat merealisasikan dasar kerajaan MALAYSIA MADANI iaitu melahirkan masyarakat seimbang dan sejahtera.