Berita Palsu Berleluasa, Cetus Panik dan Salah Faham




(Sesi temu bual dengan pelajar UPSI)



Oleh: Amirah Madihah Abdul Muttalib & Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hasan


TANJUNG MALIM– Fenomena penyebaran berita palsu dalam kalangan masyarakat, khususnya pelajar, semakin membimbangkan pada masa kini apabila maklumat tidak sahih mudah tersebar melalui media sosial seperti WhatsApp, Instagram dan TikTok. Tinjauan yang dijalankan melalui temu bual di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bertujuan untuk mengenal pasti tahap kesedaran serta pandangan pelajar terhadap isu ini.

Menurut seorang pelajar, Ain Syafawani, 21 tahun, berita palsu merupakan maklumat yang tidak sahih dan disebarkan tanpa sumber yang jelas. Beliau menyatakan bahawa berita palsu boleh menyebabkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, terutamanya apabila melibatkan isu sensitif seperti kesihatan dan keselamatan. “Ada kalanya orang terus percaya tanpa semak dahulu, dan ini boleh menyebabkan panik,” jelasnya.

Selain itu, seorang lagi pelajar, Nur Amalina, 20 tahun, turut berkongsi pandangannya bahawa berita palsu bukan sahaja memberi kesan kepada individu, malah boleh menjejaskan keharmonian masyarakat. Menurutnya, penyebaran berita yang tidak benar boleh mencetuskan salah faham antara kaum dan agama. “Kalau berita itu berkaitan isu sensitif, ia boleh menyebabkan pergaduhan atau ketegangan dalam masyarakat,” katanya.

Kedua-dua pelajar juga bersetuju bahawa masyarakat perlu memainkan peranan penting dalam membendung penyebaran berita palsu. Antara langkah yang boleh diambil adalah dengan menyemak kesahihan maklumat melalui sumber yang dipercayai sebelum berkongsi di media sosial.

Kesimpulannya, berita palsu merupakan ancaman serius dalam masyarakat moden yang boleh membawa pelbagai kesan negatif. Oleh itu, setiap individu perlu lebih bertanggungjawab dan bijak dalam menilai sesuatu maklumat agar tidak menjadi penyumbang kepada penyebaran berita palsu.