Berita Palsu Dalam Kalangan Pelajar UPSI: Antara Tular, Kekeliruan dan Kesedaran Digital

 

Sesi temubual bersama pelajar UPSI untuk mengetahu pandangan mereka mengenai isu penyebaran berita palsu di dalam kampus


Disediakan oleh: Nur Qistina Balqis Binti Ayub dan Dr Ahmad Sauffiyan Bin Abu Hasan

Tanjung Malim, 13 April 2026 – Dalam era digital yang berkembang pesat, maklumat kini hanya berada di hujung jari dan boleh tersebar dalam sekelip mata. Namun di sebalik kemudahan tersebut, muncul cabaran besar yang semakin membimbangkan iaitu penyebaran berita palsu yang bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah berpotensi mencetuskan keresahan awam.

Platform media sosial seperti TikTok, WhatsApp dan X (dahulunya dikenali sebagai Twitter) menjadi medium utama peredaran maklumat tanpa sempadan. Namun begitu, kepantasan perkongsian sering mengatasi proses semakan fakta, sekali gus menyebabkan masyarakat mudah terdedah kepada maklumat tidak sahih yang tular tanpa pengesahan.

Hasil temu bual bersama beberapa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mendapati bahawa fenomena ini memberi kesan langsung terhadap tahap kepercayaan pengguna terhadap maklumat dalam talian.

Seorang pelajar Semester 2 UPSI, Nur Atiqah Farah Muhammad Yousof, 21, berkata berita palsu sering menimbulkan kekeliruan, khususnya apabila sesuatu maklumat kelihatan meyakinkan kerana telah tersebar secara meluas di media sosial. “Apabila sesuatu berita itu tular, kita cenderung untuk percaya tanpa semakan lanjut. Contohnya isu kenaikan harga minyak yang pernah tular sebelum ini telah menimbulkan kebimbangan dalam keluarga saya kerana kami menyangkakan ia benar pada awalnya,” katanya.

Sementara itu, Haziq Mansoor, 23, pelajar Semester 6 UPSI, berpendapat bahawa impak berita palsu lebih serius kerana ia boleh mengganggu ketenteraman masyarakat serta mencetuskan reaksi berantai. “Berita palsu boleh menjejaskan ketenteraman awam. Jika melibatkan isu sensitif seperti kekurangan bekalan makanan, ia boleh mencetuskan panik dan pembelian panik (panic buying) yang akhirnya membawa kepada pembaziran,” jelasnya.

Sehubungan itu, pakar komunikasi digital menegaskan bahawa literasi media perlu diperkukuh dalam kalangan masyarakat bagi memastikan setiap individu mampu menilai kesahihan sesuatu maklumat sebelum menyebarkannya.

Orang ramai juga disarankan untuk merujuk sumber rasmi seperti portal Sebenarnya.my serta saluran media arus perdana sebelum mempercayai atau berkongsi sebarang maklumat yang belum disahkan.

Kesimpulannya, isu berita palsu bukan sekadar cabaran digital, malah ia mampu memberi kesan besar terhadap keharmonian masyarakat sekiranya tidak dibendung dengan bijak. Justeru, tanggungjawab menangani penyebaran maklumat tidak sahih perlu digalas bersama oleh semua pihak, khususnya pengguna media sosial agar budaya “semak sebelum kongsi” dapat diterapkan secara meluas.