Bahasa Jiwa Bangsa: Bicara Berirama UPSI 2026 Cungkil Bakat Generasi Muda


Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Bicara Berirama Piala Naib Canselor UPSI 2026


Disediakan oleh: Nur Qistina Balqis Binti Ayub dan Dr Ahmad Sauffiyan Bin Abu Hasan


Tanjung Malim, 30 April 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengorak langkah dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan wahana pembentukan jati diri melalui penganjuran Pertandingan Bicara Berirama Piala Naib Canselor UPSI 2026 yang berlangsung pada 29 hingga 30 April 2026.


Program berprestij ini merupakan anjuran Exco Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar Sidang 2025/2026 dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang diadakan di Dewan Kolej Ungku Omar serta Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah. Mengangkat tema “Pendidikan Menginspirasi, Dunia Bertransformasi”, pertandingan ini menghimpunkan penyertaan sekolah-sekolah menengah dari seluruh negara sebelum menyaksikan lima kumpulan terbaik mara ke pentas akhir.


Sepanjang dua hari pertandingan berlangsung, para peserta telah memperlihatkan persembahan yang mantap dan penuh penghayatan. Setiap kumpulan menampilkan kelainan dari segi susunan skrip, kekuatan vokal, intonasi serta koreografi yang tersusun rapi. Elemen emosi dan ekspresi yang dipamerkan berjaya memukau barisan juri serta para penonton yang memenuhi ruang dewan.


Bicara berirama bukan sekadar pertandingan pengucapan awam, malah merupakan medium yang menggabungkan seni bahasa, kreativiti dan semangat berpasukan. Melalui penyertaan ini, para pelajar berpeluang mengasah kemahiran komunikasi berkesan, kepimpinan, disiplin serta keyakinan diri. Secara tidak langsung, program ini menjadi platform pembangunan sahsiah dan pembentukan karakter pelajar yang lebih berani serta berfikiran kritis.


Majlis perasmian penutupan turut diserikan dengan ucapan penghargaan daripada barisan penganjur, penasihat program dan pengarah program yang menzahirkan rasa syukur atas kelancaran pelaksanaan pertandingan malah turut menekankan kepentingan mempertahankan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang harus terus diperkasa dalam arus globalisasi.


Johan Pertandingan Bicara Berirama Piala Naib Canselor UPSI 2026


Kemuncak acara menyaksikan SMK Zon R1 Wangsa Maju dinobatkan sebagai Johan, diikuti SMK Taman Seraya sebagai Naib Johan dan SM Sains Pasir Puteh di tempat ketiga. Anugerah khas turut diberikan bagi menghargai kecemerlangan persembahan termasuk kategori Persembahan Terbaik, Koreografi Terbaik dan Konduktor Terbaik.


Secara keseluruhannya, Pertandingan Bicara Berirama Piala Naib Canselor UPSI 2026 telah berjaya mencapai objektifnya sebagai wadah memperkasa bahasa Melayu dan mencungkil bakat generasi muda. Penganjuran program seperti ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan agar terus menjadi platform yang menyemarakkan semangat cintakan bahasa serta melahirkan pelajar yang berilmu, berkeyakinan dan berdaya saing tinggi.


Sumber : 

  1. https://jendeladbp.my/tv/pertandingan-bicara-berirama-piala-naib-canselor-upsi-2026/

  2. https://epena.com.my/index.php/2026/04/30/upsi-jadi-pentas-transformasi-bahasa-melayu/

  3. https://www.youtube.com/watch?v=nPYe4sh8FLQ