Dua Kapal Malaysia Lepasi Krisis Hormuz, Bekalan Minyak Dijamin Stabil

Disediakan oleh: Nur Qistina Balqis Binti Ayub dan Dr Ahmad Sauffiyan Bin Abu Hasan

Tanjung Malim – Satu daripada dua kapal Malaysia yang membawa bahan api dan sebelum ini terkandas di Selat Hormuz dijangka tiba pada 17 April ini, manakala sebuah lagi kapal dijangka menyusul minggu berikutnya.

Perkara itu dimaklumkan Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, dalam sidang media mingguan selepas Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua kapal berkenaan kini dalam pelayaran selepas berjaya melepasi situasi perairan yang terjejas akibat konflik di kawasan Selat Hormuz.

“Pada masa ini dimaklumkan terdapat dua kapal sedang dalam perjalanan. Satu dijangka tiba pada 17 April, manakala satu lagi mungkin pada minggu berikutnya. Terdapat lima kapal lagi yang masih berada di Selat Hormuz,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa enam daripada tujuh kapal Malaysia yang membawa bekalan minyak mentah ke negara ini telah memperoleh kelulusan untuk meneruskan pelayaran dan sedang menunggu giliran untuk melepasi laluan berkenaan.

Beliau turut berkata sebuah lagi kapal telah berjaya keluar membawa bahan api, sekali gus memberi jaminan bahawa bekalan minyak negara bagi bulan ini dan Mei berada dalam keadaan terkawal.

Dalam perkembangan sama, kerajaan turut meneliti penggunaan biodiesel sebagai langkah mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api import.

Jurucakap kerajaan itu berkata, Jemaah Menteri bersetuju untuk meningkatkan kadar adunan biodiesel daripada B10 kepada B15, bermula dengan B12, menggunakan infrastruktur sedia ada tanpa melibatkan kos tambahan kepada kerajaan.

Langkah berkenaan diputuskan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang sektor tenaga negara.

Secara keseluruhan, kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan minyak negara kekal stabil meskipun beberapa kapal masih berada di kawasan perairan yang terjejas.


Sumber : Berita Harian