Persatuan Mahasiswa Bentuk Kepimpinan dan Kemahiran Insaniah Pelajar

 Oleh: Muhammad Shafiq Adam Bin Mohd Shukor & Dr Ahmad Sauffiyan Bin Abu Hasan

Bagi sesetengah pelajar universiti, kehidupan kampus mungkin hanya tertumpu kepada kuliah, tugasan dan peperiksaan. Namun, bagi mereka yang aktif dalam persatuan mahasiswa, pengalaman di universiti menawarkan lebih daripada sekadar pencapaian akademik. Penglibatan dalam persatuan bukan sahaja membuka peluang untuk membina jaringan sosial, malah menjadi platform penting dalam membentuk kemahiran kepimpinan dan insaniah yang diperlukan dalam dunia pekerjaan.

Di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), pelbagai persatuan dan kelab ditubuhkan bagi memberi ruang kepada mahasiswa mengembangkan bakat serta potensi diri. Melalui penglibatan dalam organisasi pelajar, mahasiswa berpeluang memegang jawatan, mengurus program dan berinteraksi dengan pelbagai pihak termasuk pensyarah, pentadbir universiti dan komuniti luar.

Menurut Iskandar Isa, yang aktif dalam sebuah persatuan mahasiswa iaitu Persatuan Komunikasi (PERKOM), pengalaman dalam mengendalikan dan menganjurkan program telah banyak membantu meningkatkan keyakinan diri dan kemahiran berkomunikasi seperti bercakap di depan khalayak orang ramai.

Beliau berkata, setiap program yang dijalankan memerlukan komitmen tinggi daripada ahli jawatankuasa. Walaupun terdapat cabaran untuk membahagikan masa antara akademik dan aktiviti persatuan, pengalaman tersebut memberikan banyak pembelajaran yang tidak diperoleh di dalam bilik kuliah.

Selain membentuk kemahiran komunikasi, penglibatan dalam persatuan turut membantu mahasiswa mempelajari aspek pengurusan organisasi seperti perancangan program, pengurusan kewangan, penyelesaian konflik dan kerja berpasukan.

Menurut Dr Siti Fariza, Penasihat Persatuan PERKOM berkata penglibatan aktif dalam persatuan mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan kerana majikan kini tidak hanya menilai pencapaian akademik semata-mata.

Beliau turut menambah bahawa aktiviti kokurikulum dan persatuan merupakan antara medium terbaik untuk membina kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar. Pengalaman mengurus

program berskala kecil mahupun besar dapat membantu mahasiswa memahami situasi sebenar yang bakal dihadapi dalam dunia pekerjaan.

Pada masa yang sama, penglibatan dalam persatuan juga memberi peluang kepada mahasiswa untuk menyumbang kepada masyarakat melalui pelbagai program kesukarelawanan dan khidmat komuniti. Aktiviti seperti program pendidikan, kempen kesedaran dan bantuan kebajikan bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat, malah membantu mahasiswa membina nilai empati dan tanggungjawab sosial.

Walaupun cabaran mengimbangi akademik dan aktiviti persatuan sentiasa wujud, ramai mahasiswa berpendapat bahawa pengalaman yang diperoleh jauh lebih berharga. Dengan pengurusan masa yang berkesan, kedua-dua aspek tersebut dapat dilaksanakan secara seimbang.

Dalam era yang semakin kompetitif, graduan yang memiliki keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan kemahiran insaniah akan mempunyai kelebihan yang lebih besar. Oleh itu, mahasiswa disaran untuk memanfaatkan peluang yang disediakan oleh universiti dengan menyertai persatuan dan aktiviti yang dapat menyumbang kepada pembangunan diri secara holistik.