Disediakan oleh: Nur Qistina Balqis Binti Ayub dan Dr Ahmad Sauffiyan Bin Abu Hasan
Tanjong Malim – Suasana penuh ketenangan dan penghayatan jelas menyelubungi Tapak Pesta Kolej Aminuddin Baki, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) apabila Program Mahabbah Rasul: Rindu Tanpa Sempadan yang berlangsung pada 17 Mei 2026 berjaya menghimpunkan mahasiswa serta masyarakat setempat dalam satu malam kerohanian yang sarat dengan nilai keinsafan.
Program anjuran Exco Modal Insan dan Pembangunan Sahsiah, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar (MMKUO) Sidang 2025/2026 itu bertujuan memperkukuh kecintaan terhadap Rasulullah SAW di samping menyemai nilai sahsiah unggul dalam kalangan mahasiswa melalui pengisian berbentuk keagamaan.
Kemuncak program pada malam tersebut diisi dengan sesi tausiyah bertajuk Tangisan Terakhir Buat Ummah yang disampaikan oleh penceramah jemputan, Imam Muda Asyraf. Penyampaian yang penuh penghayatan itu berjaya menyentuh emosi para hadirin serta membuka ruang refleksi terhadap peranan insan sebagai umat Nabi Muhammad SAW.
Sesi tausiyah oleh Imam Muda Asyraf
Selain itu, majlis turut diserikan dengan alunan qasidah oleh kumpulan Syabab Al Mustofawiyyah yang mempersembahkan bacaan penuh harmoni dan menyentuh jiwa. Gabungan tausiyah dan qasidah tersebut mewujudkan suasana malam yang tenang, sekali gus memberikan pengalaman rohani yang mendalam kepada para peserta.
Sesi qasidah oleh kumpulan Syabab Al Mustofawiyyah
Menurut Pengarah Program, Faris Iman Abdul Razak, penganjuran program seperti ini penting dalam membentuk mahasiswa yang seimbang dari segi akademik dan spiritual.
“Mahasiswa perlu bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga memiliki kekuatan rohani dan akhlak yang menjadi asas pembentukan jati diri,” katanya ketika ucapan penutup program.
Sementara itu, Felo Penasihat Program, Cik Ummikalsum Binti Mat Lazim berkata program ini memberi kesan positif dalam meningkatkan kesedaran spiritual dalam kalangan mahasiswa.
Beliau menegaskan bahawa pengisian seperti tausiyah dan qasidah mampu mendekatkan hati mahasiswa kepada Allah SWT serta memperbaiki hubungan sesama manusia.
Pengerusi Majlis Felo Kolej-Kolej Kediaman, ChM. Dr. Mohamad Saufi Rosmi pula dalam ucapan perasmian menekankan kepentingan keseimbangan antara aspek intelektual, emosi dan spiritual dalam pembentukan mahasiswa holistik. “Program seperti ini bukan sahaja mengisi jiwa, malah membentuk sahsiah mahasiswa agar lebih berakhlak dan berjiwa besar,” jelas beliau.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektif dalam memperkukuh ukhuwah serta menyemai kecintaan terhadap Rasulullah SAW dalam kalangan mahasiswa UPSI dan masyarakat setempat.
Penganjuran seumpama ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai medium pembentukan generasi muda yang berilmu, berakhlak dan berjiwa rohani yang tinggi.