Disediakan oleh: Nur Qistina Balqis Binti Ayub dan Dr Ahmad Sauffiyan Bin Abu Hasan
Tanjong Malim – Selepas tempoh dua tahun tidak dianjurkan, Karnival Interaksi Tahunan Kolej Ungku Omar (KITA KUO: The Reunion Wave!) kembali mewarnai kehidupan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan penganjuran yang lebih segar, meriah dan menyatukan pelbagai lapisan warga kampus.
Bertempat di Tapak Pesta KAB, Kampus Sultan Azlan Shah, karnival yang berlangsung dari 17 hingga 20 Mei 2026 itu dianjurkan oleh Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar sesi 25/26. Program ini turut mendapat sokongan beberapa penaja serta kerjasama pelbagai persatuan mahasiswa yang bersama-sama menjayakan pengisian sepanjang empat hari tersebut.
Karnival kali ini menampilkan pelbagai aktiviti merangkumi elemen kerohanian, hiburan, sukan, keusahawanan, teknologi dan budaya. Antara program yang mencuri perhatian termasuk kejohanan e-sukan MLBB dan PUBG, Rahmahpreneur Bizfest, Faith Fest, Mahabbah Rasul, Pulse & Pause, Borneo Native Day, Momok House, KUO Luxe Leisure serta Stemagika 3.0 yang memfokuskan kepada teknologi dan robotik.
Penganjuran ini bukan sahaja memberi ruang hiburan kepada mahasiswa, malah turut berfungsi sebagai platform pembangunan bakat, kepimpinan dan kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar.
Ucapan dari pengarah program, Nursafika Amat
Pengarah program, Nursafika Amat berkata kembalinya KITA KUO membawa makna besar kepada warga kolej kerana ia menghidupkan semula tradisi kebersamaan yang telah lama dirindui. Menurut beliau, setiap pengisian yang dirancang bertujuan memberi pengalaman bermakna kepada mahasiswa selain mengukuhkan hubungan antara pelajar dan komuniti kampus.
Majlis penutup disempurnakan oleh Pemangku Pengetua Kolej Ungku Omar, Dr. Mardiana Ismail yang menghargai usaha jawatankuasa penganjur dalam menjayakan karnival berskala besar tersebut. Beliau menegaskan bahawa program seperti ini memainkan peranan penting dalam membentuk mahasiswa yang seimbang dari segi akademik, sahsiah dan kepimpinan.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin yang merasmikan penutupan karnival. Beliau menyifatkan penganjuran ini sebagai medium penting dalam memperkukuh keterlibatan mahasiswa serta membina pengalaman kepimpinan melalui penganjuran program sebenar.
Secara keseluruhan, KITA KUO 2026 berjaya menghidupkan kembali suasana festival kampus serta mengeratkan hubungan dalam kalangan warga UPSI melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan sepanjang empat hari penganjuran.
Secara keseluruhan, KITA KUO 2026 berjaya menghidupkan kembali suasana festival kampus serta mengeratkan hubungan dalam kalangan warga UPSI melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan sepanjang empat hari penganjuran.