Kecerdasan Buatan (AI) dalam Pendidikan Tinggi: Membantu atau Membatasi Pelajaran

 Oleh: Muhammad Shafiq Adam Bin Mohd Shukor & Dr Ahmad Sauffiyan Bin Abu Hasan

Perkembangan teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence atau AI) telah membawa perubahan besar dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan tinggi. Dalam kalangan mahasiswa, penggunaan aplikasi AI seperti ChatGPT dan alat pembelajaran digital lain semakin menjadi kebiasaan untuk membantu menyiapkan tugasan, mencari maklumat dan meningkatkan pemahaman terhadap sesuatu topik.

Bagi ramai pelajar, AI dilihat sebagai satu inovasi yang memudahkan proses pembelajaran. Dengan hanya beberapa arahan ringkas, pelajar boleh mendapatkan penjelasan konsep, cadangan idea dan bantuan dalam menyusun maklumat untuk tugasan akademik.

Menurut Adlin Fadhlina, AI banyak membantu beliau dalam memahami topik yang sukar dan menjimatkan masa ketika membuat ulang kaji. "Saya menggunakan AI sebagai alat sokongan pembelajaran. Ia membantu saya mendapatkan penerangan yang lebih mudah difahami, tetapi saya tetap perlu menyemak dan memahami maklumat yang diberikan," katanya.

Walau bagaimanapun, terdapat juga kebimbangan bahawa penggunaan AI secara berlebihan boleh menyebabkan pelajar terlalu bergantung kepada teknologi sehingga mengurangkan kemahiran berfikir secara kritis dan kreativiti.

Menurut Aidil Saharuddin, Pembaca Berita di bawah Media PRIMA, AI mempunyai potensi besar dalam pendidikan sekiranya digunakan secara bertanggungjawab dan beretika. "AI seharusnya digunakan sebagai alat bantuan, bukannya menggantikan usaha pelajar untuk berfikir, menganalisis dan menghasilkan idea sendiri. Pelajar masih perlu memastikan setiap maklumat yang diperoleh disemak dan difahami dengan baik," jelas beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa integriti akademik perlu sentiasa dijaga bagi mengelakkan penyalahgunaan teknologi dalam tugasan dan penilaian akademik. Dalam era digital yang semakin berkembang, AI dijangka terus memainkan peranan penting dalam dunia pendidikan. Dengan penggunaan yang bijak dan beretika, teknologi ini mampu membantu meningkatkan pengalaman pembelajaran serta melahirkan graduan yang lebih bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.