BERITA PALSU DI MEDIA SOSIAL MEMBIMBANGKAN — PELAJAR UPSI SUARAKAN KEBIMBANGAN TERHADAP ANCAMAN MAKLUMAT TIDAK BENAR
Oleh: Mayveline anak Nakan & Dr. Ahmad Sauffiyan
TANJONG MALIM — Penyebaran berita palsu atau fake news yang semakin berleluasa di platform media sosial kini mula menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Fenomena ini yang sering merebak melalui pelbagai aplikasi popular seperti TikTok, Facebook dan WhatsApp didapati turut memberi kesan terhadap ketenangan dan keharmonian kehidupan pelajar di universiti.
Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai isu ini, dua orang pelajar perempuan UPSI telah ditemubual bagi berkongsi pandangan dan tindakan mereka apabila berhadapan dengan berita palsu yang ditemui di atas talian. Kedua-dua pelajar tersebut mengakui bahawa pendedahan kepada berita palsu adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dalam kehidupan seharian mereka sebagai pengguna aktif media sosial.
Apabila ditanya mengenai tindakan yang diambil sekiranya mereka menemui sebarang berita palsu di media sosial, kedua-dua pelajar tersebut menyatakan bahawa mereka lazimnya memilih untuk tidak mengendahkan berita tersebut. Mereka berpandangan bahawa mengabaikan berita yang meragukan adalah langkah terbaik berbanding menyebarkannya semula kepada orang lain, sekali gus tidak turut serta dalam memburukkan lagi keadaan.
Namun begitu, kedua-dua pelajar tersebut turut mengakui bahawa penyebaran berita palsu yang berterusan di media sosial mampu menjejaskan keharmonian dalam kalangan para pelajar. Menurut mereka, berita palsu yang tersebar luas boleh menimbulkan rasa cemas dan kebimbangan yang tidak perlu dalam kalangan pelajar terhadap sesuatu perkara yang sebenarnya tidak benar. Keadaan ini secara tidak langsung boleh mengganggu fokus dan ketenteraman fikiran pelajar dalam menjalani kehidupan kampus seharian.
Isu penyebaran berita palsu ini sewajarnya ditangani secara serius oleh semua pihak, termasuk pelajar itu sendiri, pihak universiti mahupun kerajaan. Pelajar digalakkan untuk sentiasa merujuk sumber yang sahih dan boleh dipercayai sebelum mempercayai atau berkongsi sebarang maklumat yang diterima, terutamanya melalui platform media sosial yang mudah diakses oleh semua pihak. Langkah berwaspada ini penting bagi memastikan persekitaran maklumat yang sihat dan bertanggungjawab dapat dipupuk dalam kalangan warga universiti.