Bukan Sekadar Di Atas Kertas: Bagaimana MoU Mega FBK UPSI Membuka Jalan Industri Kreatif Buat Mahasiswa


TANJONG MALIM - Dewan Konvensyen, Bangunan E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS) hari ini bergema dengan sorakan dan keterujaan yang luar biasa. Kelibat tokoh perfileman negara, Datuk Dr. Yusof Haslam yang melangkah masuk ke dalam dewan bukan sahaja menarik perhatian ramai, malah membawa satu mesej besar: masa depan industri kreatif kini sedang beralih ke arah institusi menara gading.

Satu detik bersejarah telah tercipta apabila Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) secara rasmi memeterai Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama rakan strategik gergasi industri. Rakan-rakan tersebut merangkumi Skop Productions Sdn. Bhd., Aaron Aziz Productions Sdn. Bhd., Oh My Media Sdn. Bhd., NOIR Health & Beauty Sdn. Bhd., dan AQ Energy.

Majlis ini telah disempurnakan oleh Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff. Beliau menegaskan bahawa jalinan ini merupakan langkah serangkai bagi merapatkan jurang antara bilik kuliah dan realiti sebenar industri media, penyiaran, serta pemasaran digital masa kini.

Menurut Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff, kolaborasi ini direka khusus untuk memberikan kelebihan kompetitif kepada para mahasiswa sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan. “Kerjasama strategik ini membuka ruang kepada pelajar untuk menjalani latihan industri, work-based learning, mentorship profesional, projek industri dan pembangunan portfolio yang lebih kompetitif serta relevan dengan keperluan semasa pasaran pekerjaan,” ujar beliau ketika merasmikan majlis tersebut.

Beliau turut menambah bahawa impak perjanjian ini merangkumi pelbagai aspek yang luas demi pembangunan bakat di UPSI. “Melalui MoU ini, pelbagai peluang strategik dapat diwujudkan termasuk latihan industri, pembangunan kandungan kreatif, penyelidikan bersama, program pembangunan bakat, perkongsian kepakaran profesional, penerbitan media serta pelaksanaan projek komuniti yang memberi manfaat kepada masyarakat.”

Bagi jawatankuasa pelaksana, penganjuran acara berprestij yang dihadiri oleh pengurusan tertinggi universiti dan tokoh industri ini menuntut komitmen yang tinggi. Menurut salah seorang Ahli Jawatankuasa (Chan Hee Yin, AJK Media Program) pelaksana program yang ditemui, cabaran utama adalah memastikan kelancaran protokol demi menjaga nama baik fakulti dan universiti.

"Membawa nama-nama besar seperti Datuk Yusof Haslam dan jenama kosmetik gergasi seperti NOIR ke peringkat universiti memerlukan perancangan yang sangat teliti," ujar wakil AJK tersebut. "Namun, apabila melihat sokongan padu daripada pihak Naib Canselor dan keterujaan pelajar yang membanjiri dewan, segala penat lelah kami sebagai AJK rasa berbaloi. Kami mahu memastikan MoU ini memberikan impak jangka panjang."

Aura positif majlis ini nyata dirasai secara langsung oleh para mahasiswa. Bagi pelajar komunikasi media yang hadir, peluang mendengar amanat daripada Naib Canselor serta melihat tokoh industri secara dekat memberikan suntikan motivasi yang luar biasa.


"Melihat komitmen pihak universiti membawa industri luar masuk ke kampus membuatkan kami rasa dihargai sebagai pelajar komunikasi," kata Ajijulshah, seorang pelajar program Komunikasi Sosial yang menghadiri majlis tersebut.

Beliau menambah, kolaborasi pelbagai portfolio—daripada produksi filem sehinggalah kepada media digital dan pemasaran kecantikan—membuktikan bahawa skop komunikasi hari ini tidak lagi terhad.

"Kenyataan Dr. Md Amin tentang work-based learning dan pembangunan portfolio itu sangat tepat. Sebagai pelajar yang bakal menempuh latihan industri tidak lama lagi, kerjasama antara UPSI dengan Skop Productions dan Oh My Media ini memberikan kami rasa lebih yakin. Kami tidak lagi hanya belajar teori penulisan, tetapi berpeluang menyelami ekosistem industri yang sebenar," kongsi Jijul dengan penuh semangat.