Oleh: CHAN XUE YEE & Dr. Ahmad Sauffiyan Bin Abu Hasan
TANJUNG MALIM, Dalam usaha memperkukuh hubungan antara dunia akademik dan industri sebenar, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan majlis memorandum of understanding (MoU) bersama beberapa rakan industri tempatan. Kerjasama ini bukan sekadar simbolik melalui tandatangan perjanjian, malah dilihat mampu membuka lebih banyak peluang kepada mahasiswa dalam aspek pengalaman, latihan industri dan persediaan kerjaya pada masa hadapan.
Program tersebut turut mendapat perhatian pelajar kerana ia membuka peluang kepada mereka untuk memahami kehendak sebenar industri serta membina hubungan profesional sejak di bangku universiti lagi.
Majlis MoU tersebut melibatkan beberapa syarikat dan organisasi industri seperti Oh My Media, SKOP Production, Noir AQ Energy dan Aaran Aziz Productions. Kerjasama ini bertujuan untuk memperluaskan peluang latihan industri, perkongsian kepakaran, program pembangunan pelajar serta pendedahan kepada suasana pekerjaan sebenar.
Menurut seorang pelajar yang terlibat dalam bidang media program tersebut, Azim, kerjasama industri ini diadakan bagi membantu mahasiswa memperoleh pengalaman yang lebih relevan dengan keperluan pasaran kerja semasa.“Tujuan utama kerjasama ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar mengenali industri tempatan dengan lebih dekat serta meningkatkan kebolehpasaran graduan selepas tamat pengajian,” katanya.
Azim turut berpendapat bahawa hubungan antara universiti dan industri amat penting pada masa kini kerana ia memberi pendedahan awal kepada pelajar tentang realiti pekerjaan.“Bagi saya, pelajar hari ini perlu lebih bersedia kerana industri sekarang sangat kompetitif. Kerjasama seperti ini memang sangat membantu,” tambahnya. Selain membuka peluang latihan industri, kerjasama tersebut juga dijangka dapat membantu mahasiswa mendapatkan peluang pekerjaan pada masa akan datang.
Bagi ramai mahasiswa, program seperti ini memberi harapan dan motivasi terhadap masa depan kerjaya mereka. Pelajar dapat melihat sendiri bagaimana industri berfungsi serta mengetahui kemahiran yang diperlukan oleh majikan pada masa kini. Seorang pelajar UPSI, Alin, berkata program tersebut membuka matanya bahawa industri sebenarnya menawarkan banyak peluang kepada golongan mahasiswa. “Saya belajar bahawa sebenarnya pasaran kerja sekarang memberikan banyak peluang kepada pelajar, tetapi kami juga perlu lebih berusaha untuk bersedia menghadapi pekerjaan,” katanya.
Menurutnya lagi, kerjasama antara universiti dan pihak industri dapat memberi lebih keyakinan kepada pelajar apabila memasuki alam pekerjaan. “Apabila syarikat bekerjasama dengan pihak universiti, ia secara tidak langsung memberi lebih banyak peluang dan jaminan kepada pelajar untuk mendapatkan pengalaman kerja pada masa depan,” katanya. Alin turut meluahkan rasa gembira kerana berpeluang menyertai program tersebut. Beliau mengatakan acara itu sebagai satu inisiatif yang sangat membantu pelajar dan menunjukkan keprihatinan pihak penganjur terhadap keperluan mahasiswa.
| temubual bersama salah seorang peserta |
“Saya sangat gembira dapat menyertai program ini. Ia adalah satu program yang sangat baik, mesra pelajar dan benar-benar membantu kami memahami industri tempatan dengan lebih jelas. Saya juga sangat menghargai usaha pihak penganjur yang sangat teliti dalam menganjurkan acara ini,” tambahnya. Pelajar tersebut turut berpendapat bahawa kerjasama industri sememangnya penting kepada mahasiswa kerana ia membantu mereka memahami realiti dunia pekerjaan dengan lebih awal. Dalam dunia pekerjaan yang semakin kompetitif, graduan bukan sahaja dinilai berdasarkan keputusan akademik, tetapi juga pengalaman, kemahiran insaniah dan kemampuan menyesuaikan diri dengan kehendak industri.
Oleh itu, kerjasama antara universiti dan pihak industri dilihat sebagai satu langkah penting dalam melahirkan graduan yang lebih berkualiti dan berdaya saing.
Melalui program seperti ini, pelajar dapat meningkatkan kemahiran komunikasi, kerja berpasukan serta keyakinan diri apabila berinteraksi dengan pihak profesional dari pelbagai bidang.
Secara keseluruhannya, majlis memorandum of understanding of (MOU) ini bukan sekadar satu acara rasmi, tetapi merupakan usaha penting dalam membantu mahasiswa membuat persediaan awal sebelum melangkah ke alam pekerjaan sebenar.
Kerjasama erat antara universiti dan industri diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang demi melahirkan graduan yang lebih bersedia, berkemahiran dan mampu memenuhi keperluan industri semasa.