Dari Dewan Kuliah ke Komuniti: Pelajar BKS3213 Aplikasi Kemahiran Korporat Komunikasi Melalui Program SULAM





Disediakan oleh : Wan Puteri Qistina

Teori komunikasi korporat yang dipelajari di dalam bilik kuliah bakal diterjemahkan kepada pengalaman sebenar apabila pelajar Kursus BKS3213 Korporat Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjalankan program Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM) bersama komuniti Kampung Menderang, Sungkai.

Melalui projek ini, wakil kumpulan pelajar untuk Kumpulan Rebana Budak Kampung bukan sahaja bertanggungjawab merancang aktiviti komuniti, malah mengendalikan pelbagai aspek komunikasi profesional seperti hubungan media, pengurusan publisiti, penyediaan siaran media (press release) dan dokumentasi program.

Rebana yang digunakan oleh Kumpulan Rebana Budak Kampung

Menurut pengarah projek, persediaan program melibatkan pembahagian tugas mengikut fungsi komunikasi korporat yang sebenar seperti yang diamalkan dalam organisasi dan agensi profesional.

"Kami tidak hanya merancang aktiviti bersama komuniti, tetapi turut menguruskan aspek komunikasi strategik termasuk penyediaan bahan promosi, pengurusan media sosial dan penulisan siaran media untuk hebahan program," katanya.

Sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan keterlihatan program, pihak penganjur turut merancang kerjasama dengan wakil media tempatan untuk membuat liputan pada hari program berlangsung pada 26 Jun 2026 yang akan datang. Kehadiran media dijangka membantu memperluaskan capaian maklumat mengenai aktiviti komuniti serta memperkenalkan inisiatif SULAM kepada masyarakat yang lebih luas.

Pensyarah kursus BKS3213, Dr Siti Fariza menjelaskan bahawa penglibatan media merupakan elemen penting dalam komunikasi korporat kerana ia memberi pendedahan kepada pelajar tentang cara organisasi membina hubungan dengan pihak berkepentingan.

"Dalam dunia pekerjaan sebenar, komunikasi korporat bukan sekadar menghasilkan kandungan media sosial. Ia melibatkan pengurusan reputasi, hubungan media, penyampaian mesej organisasi dan penglibatan komuniti secara strategik," katanya.

Bagi memastikan program mendapat liputan yang berkesan, pelajar telah menyediakan pelan komunikasi yang merangkumi penghasilan poster digital, kandungan media sosial, jemputan media, jadual liputan serta penyediaan siaran media yang akan diedarkan kepada pihak media selepas program berlangsung.

Selain memberi manfaat kepada komuniti Kampung Menderang, projek ini turut menjadi platform pembelajaran berasaskan pengalaman yang membolehkan pelajar mengaplikasikan kemahiran komunikasi dalam situasi sebenar.

Seorang ahli kumpulan pelajar berkata pengalaman tersebut memberi gambaran yang lebih jelas tentang peranan seorang pengamal komunikasi korporat.

"Kami belajar bagaimana untuk berkomunikasi dengan komuniti, berurusan dengan pihak luar dan memastikan maklumat program disampaikan secara profesional kepada khalayak sasaran. Selain itu, kami juga telah mempelajari tentang sejarah dan asal usul rebana di kampung ini sendiri," katanya.

Sesi latihan bagi Kumpulan Rebana Budak Kampung di rumah Encik Sayuty

Sewaktu sesi latihan Kumpulan Rebana Budak Kampung dijalankan di rumah Encik Sayuty, pengalaman melihat sendiri alunan rebana secara langsung memberikan satu perspektif yang lebih mendalam terhadap nilai seni warisan ini. Perkongsian daripada komuniti setempat turut membuka ruang pemahaman tentang sejarah rebana di negeri Perak yang pernah menjadi antara bentuk hiburan tradisional penting dalam kehidupan masyarakat dahulu, khususnya sebagai pengisi masa lapang dan medium pergaulan sosial. 

Lebih menyentuh, warisan ini juga dikaitkan dengan arwah pengasasnya iaitu Encik Jalil, bapa kepada Encik Sayuty yang memainkan peranan besar dalam memelihara dan memperkenalkan seni rebana ini kepada generasi seterusnya, menjadikan ia bukan sekadar persembahan muzik, tetapi simbol kesinambungan budaya yang masih relevan untuk dihargai hingga hari ini. 

Projek ini bukan sahaja dilihat sebagai satu tugasan akademik semata-mata, tetapi turut menjadi medium bermakna dalam membantu pelajar mengenali budaya Malaysia dengan lebih mendalam melalui pengalaman secara langsung bersama komuniti. Melalui penglibatan dalam aktiviti seperti ini, pelajar bukan sahaja dapat memahami nilai dan keunikan warisan setempat, malah berpeluang mengeratkan hubungan dengan masyarakat kampung yang terlibat. Secara tidak langsung, ia membentuk sikap prihatin dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar sebagai generasi muda yang bukan sahaja fokus kepada pembelajaran di bilik kuliah, tetapi juga peka terhadap kepentingan memelihara budaya dan hubungan komuniti.

Program SULAM ini turut mencerminkan usaha universiti dalam memperkukuhkan hubungan dengan masyarakat melalui perkongsian ilmu dan khidmat komuniti. Pada masa yang sama, pelajar dapat memahami bahawa komunikasi yang berkesan memainkan peranan penting dalam memastikan sesuatu program mencapai objektif dan memberi impak yang berpanjangan.

Dengan pelbagai persiapan yang sedang giat dijalankan, pelajar yang mengendali Kumpulan Budak Kampung Rebana berharap program yang bakal berlangsung dapat menjadi contoh bagaimana ilmu komunikasi korporat boleh dimanfaatkan bukan sahaja dalam organisasi, tetapi juga dalam pembangunan komuniti setempat.