Oleh : Nur Saffi Anasari Binti Saidi
SUNGKAI, Sekumpulan mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Sosial Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan lawatan ke Kampung Menderang bagi mengenali dengan lebih dekat perusahaan madu kelulut yang diusahakan oleh penduduk setempat.
Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada Projek SULAM (Service Learning Malaysia – University for Society) yang dijalankan oleh mahasiswa Komunikasi Sosial. Projek ini bertujuan membantu mempromosikan produk madu kelulut tempatan melalui pendekatan komunikasi dan penggunaan media sosial bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap produk yang dihasilkan oleh usahawan kampung.
Melalui lawatan ini, mahasiswa berpeluang melihat sendiri proses penternakan kelulut, kaedah penuaian madu serta proses pembungkusan produk yang dijalankan oleh pengusaha. Selain itu, mahasiswa turut menghasilkan bahan dokumentasi dan kandungan promosi yang boleh digunakan untuk memperkenalkan produk tersebut kepada pasaran yang lebih luas.
Pengusaha madu kelulut, Puan Mezon Jaafar, berkata perusahaan yang diusahakannya bersama keluarga masih memerlukan sokongan dari segi promosi bagi memperluaskan pasaran produk mereka.
“Kebanyakan pelanggan mengetahui tentang produk kami melalui kenalan dan pelanggan sedia ada. Oleh itu, kami berharap promosi melalui media sosial dapat membantu memperkenalkan madu kelulut ini kepada lebih ramai pengguna,” katanya.
Menurut beliau, madu kelulut yang dihasilkan diproses dengan teliti bagi memastikan kualiti dan keaslian produk sentiasa terjaga. Beliau juga berharap lebih ramai masyarakat dapat mengenali kelebihan madu kelulut serta menyokong produk tempatan yang diusahakan oleh penduduk kampung.
Program ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai industri madu kelulut, malah membantu mereka memahami peranan komunikasi dalam menyokong pembangunan ekonomi komuniti. Pengalaman berinteraksi secara langsung dengan pengusaha tempatan turut memberikan gambaran yang lebih jelas tentang cabaran dan peluang yang wujud dalam membangunkan perusahaan kecil di luar bandar.
Diharapkan usaha seperti ini dapat membantu meningkatkan keterlihatan produk tempatan serta membuka peluang kepada pengusaha untuk mengembangkan pasaran mereka pada masa hadapan. Pada masa yang sama, projek ini turut mengukuhkan hubungan antara mahasiswa dan komuniti melalui perkongsian ilmu serta pengalaman yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.