Oleh: CHAN XUE YEE & Dr. Ahmad Sauffiyan Bin Abu Hasan
TANJUNG MALIM, 30 April – Akses internet hari ini bukan lagi sekadar kemudahan tambahan, sebaliknya telah menjadi keperluan asas utama bagi kehidupan dan pembelajaran pelajar universiti. Di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), penyediaan kemudahan WiFi kampus dilihat sangat membantu rutin harian pelajar, walaupun wujud sedikit perbezaan pandangan dari segi kualiti dan kestabilan sambungan mengikut lokasi dan waktu penggunaan.
Bagi sesetengah pelajar, kemudahan WiFi yang disediakan universiti sudah memadai dan banyak membantu dalam urusan pembelajaran serta kehidupan harian. Haekal, pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk dan Pembangunan Permainan dari Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi, berpendapat bahawa kemudahan WiFi kampus yang disediakan ketika ini berada pada tahap yang baik dan memenuhi keperluan asas pelajar.
“Saya rasa WiFi kat sini dah cukup bagus dan cukup untuk semua benda yang saya perlu buat. Tak ada masalah besar pun. Saya tak perlu keluar jauh semata-mata nak cari internet laju, duduk dalam bilik asrama atau dalam kampus pun dah boleh guna,” kongsi Haekal ketika ditemui.
Kelebihan paling besar yang dirasai Haekal ialah dari segi penjimatan kos. Beliau memberitahu bahawa dengan adanya akses internet percuma dan meluas di kampus, beliau hampir tidak lagi menggunakan pelan data mudah alihnya.
“Satu kelebihan paling besar ialah ia jimatkan duit saya. Dulu kena topup data tiap-tiap bulan, sekarang tak perlu dah. Semua benda boleh buat guna WiFi kampus belajar, cari bahan, tengok video, semuanya okay. Duit simpan banyak sikit,” katanya sambil ketawa.
Haekal turut berkongsi satu pemerhatian berdasarkan pengalaman hariannya menggunakan kemudahan tersebut. Menurutnya, walaupun sambungan internet kadangkala sedikit perlahan pada waktu puncak, prestasi rangkaian menjadi jauh lebih baik apabila jumlah pengguna berkurangan.
“Satu rahsia sikit, kalau nak internet paling laju dan paling licin, kena guna waktu lewat malam atau pagi buta. Masa tu orang kurang guna, sambungan memang terbaik sekali! Memang puas hati,” tambahnya berseloroh.
Walau bagaimanapun, terdapat juga pelajar yang berpendapat bahawa masih terdapat ruang untuk penambahbaikan dari segi kestabilan dan liputan rangkaian. Nur Farah Abzal, pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian berkongsi pengalamannya menggunakan kemudahan tersebut.
Menurutnya, walaupun WiFi kampus banyak membantu urusan pembelajaran, prestasinya kadangkala tidak konsisten.
“Penggunaannya agak tidak konsisten. Kadang-kadang laju, kadang-kadang perlahan, dan ada masa sambungan terputus secara tiba-tiba. Bila tengah sibuk buat tugasan dekat tarikh akhir, memang agak memeningkan,” katanya.
Farah menjelaskan bahawa bagi tugasan akademik yang menggunakan komputer riba, beliau masih bergantung sepenuhnya kepada rangkaian universiti. Namun, untuk kegunaan peribadi melalui telefon pintar, beliau lebih cenderung menggunakan data mudah alih sendiri kerana dianggap lebih stabil dan pantas.
“Lagi terasa kesannya bila guna aplikasi berat sikit macam Canva atau sistem pembelajaran dalam talian. Kalau sambungan tak kuat, kerja jadi lambat sangat. Saya harap pihak universiti boleh pantau dan naik taraf sikit, mungkin supaya setiap bilik dapat akses lebih baik berbanding berkongsi rangkaian satu blok besar,” tambah beliau lagi.
Perbezaan pandangan ini jelas menunjukkan bahawa tahap kepuasan pengguna terhadap kemudahan WiFi kampus bergantung kepada keperluan individu, lokasi penggunaan serta waktu akses. Secara keseluruhannya, kemudahan WiFi di kampus UPSI dilihat telah berjaya mencapai matlamat utamanya, iaitu menyediakan akses internet percuma kepada seluruh warga kampus.
Isu berkaitan kualiti dan kelajuan sambungan merupakan cabaran biasa dalam pengurusan rangkaian di kawasan yang mempunyai kepadatan pengguna yang tinggi. Pihak universiti, khususnya Unit Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), sentiasa berusaha menaik taraf infrastruktur, memperluas liputan rangkaian serta memantau prestasi sistem bagi memastikan keperluan semasa pelajar terus dipenuhi.
Dengan adanya kemudahan ini, pelajar dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada proses pembelajaran tanpa perlu terlalu bimbang tentang akses internet, sekali gus mewujudkan persekitaran kampus yang lebih kondusif, moden dan selesa untuk semua.