penyebaran berita palsu dalam kalangan pelajar upsi di media sosial jadi perhatian

How to spot fake news | Cyber safety tips | Be Connected



Oleh: CHAN XUE YEE & Dr. Ahmad Sauffiyan Bin Abu Hasan


TANJUNG MALIM, 28 April – Penyebaran berita palsu menjadi satu isu yang semakin meruncing dan membimbangkan dalam era digital masa kini. Kemudahan akses internet dan penggunaan media sosial membolehkan sebarang maklumat disebarkan dengan begitu pantas, namun sering kali tanpa melalui proses semakan atau pengesahan kesahihan yang sewajarnya.

Fenomena ini membawa risiko yang besar kepada masyarakat. Maklumat yang salah atau direka-reka boleh menimbulkan kekeliruan, salah faham, malah menyebabkan panik dalam kalangan orang ramai. Kesannya boleh menjadi lebih serius jika isu tersebut melibatkan hal ehwal awam, kesihatan atau keselamatan. Justeru, kesedaran untuk menyemak kebenaran sesuatu berita sebelum dikongsi bersama semakin dititikberatkan dalam kalangan pengguna internet hari ini.

Bagi Muhammad Irshaad Ilhaan bin Nusry, seorang pelajar universiti, isu berita palsu ini tidak boleh dipandang enteng. Beliau melihat tabiat sesetengah pengguna media sosial yang terlalu pantas berkongsi maklumat sebagai punca utama keadaan ini berlaku dan berlarutan.“Saya rasa berita palsu sangat mudah tersebar sebab ramai orang kita ni suka ‘share’ sahaja, tanpa berfikir panjang atau menyemak dulu. Bila benda ni tersebar, ia boleh buat orang panik, dan yang paling bahaya ia boleh sebabkan salah faham besar dalam masyarakat,” katanya ketika ditemui.

Menurut Irshaad Ilhaan, kandungan berita palsu selalunya dibina dengan gaya penulisan yang sensasi atau menakutkan semata-mata untuk menarik perhatian, sehingga ramai yang terpedaya dan percaya bulat-bulat.

Beliau menegaskan bahawa setiap individu perlu memainkan peranan sendiri untuk memutuskan rantaian penyebaran maklumat tidak tepat ini. Langkah paling mudah tetapi paling berkesan ialah mengamalkan budaya menyemak fakta. “Nasihat saya, sebelum nak sebar atau kongsikan apa-apa berita, pastikan kita guna sumber yang sahih. Tengok dulu sama ada berita tu ada bukti, ada sumber rasmi atau tak. Kalau kita rajin semak sikit, banyak sangat masalah boleh dielakkan,” tambahnya lagi.

Selain tanggungjawab individu, masyarakat juga diingatkan supaya sentiasa berhati-hati dan bersikap kritikal apabila menerima sebarang maklumat baharu. Jangan mudah percaya sepenuhnya kepada apa yang dibaca di media sosial tanpa merujuk kepada sumber berita yang dipercayai dan disahkan.

Di samping itu, pihak berkuasa dan badan berkaitan juga perlu terus memainkan peranan aktif sama ada dari segi menguatkuasakan undang-undang, menyebarkan info tepat, mahupun meningkatkan lagi tahap kesedaran orang ramai tentang bahaya dan kesan buruk berita palsu.

Matlamat utamanya adalah untuk memastikan maklumat yang sampai kepada masyarakat sentiasa tepat, benar dan boleh dipercayai, supaya kita tidak mudah terpedaya dengan fitnah atau berita rekaan yang hanya bertujuan mengacau-bilaukan keadaan.

Secara ringkasnya, cabaran berita palsu ini adalah tanggungjawab bersama. Dengan pengguna yang lebih berilmu, berwaspada dan bertanggungjawab, impak negatif penyebaran maklumat salah dapat dikurangkan, sekaligus mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat dan sihat untuk semua.