Fenomena Ayam Gepuk Dalam Kalangan Pelajar Menjadi Makanan Pilihan Pelajar UPSI

 

Sesi temubual bersama Sabrina di Abuya, Kafe KHAR, UPSI


OLEH NISHA PRAKASH & DR AHMAD SAUFFIYAN


TANJONG MALIM, 11 MEI - Ayam gepuk telah menjadi antara makanan yang semakin popular dalam kalangan pelajar UPSI. Hampir setiap kawasan dalam kampus dan luar kampus mempunyai restoran ayam gepuk yang sentiasa dipenuhi mahasiswa, terutamanya pada waktu tengah hari hingga lewat malam. Hidangan yang berasal dari Indonesia ini berjaya menarik perhatian golongan muda kerana rasanya yang pedas, harga yang berpatutan serta hidangan yang mengenyangkan.

Bagi kebanyakan pelajar universiti, faktor harga memainkan peranan penting dalam pemilihan makanan harian. Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, mahasiswa lebih cenderung memilih makanan yang murah tetapi memuaskan. Ayam gepuk dilihat sebagai pilihan yang sesuai kerana kebanyakan premis menjualnya pada harga yang mampu dibeli oleh pelajar. Selain itu, hidangan ini biasanya disertakan dengan nasi, ayam goreng bersaiz besar, tempe, tauhu dan sambal yang boleh ditambah mengikut citarasa pelanggan. Keadaan ini membuatkan ramai pelajar merasakan makanan tersebut sangat berbaloi dengan harga yang dibayar.

‘Saya beli ayam gepuk sekurang-kurangnya 3 kali seminggu sebab mudah dapat ayam gepuk di UPSI dan di sini ada service runner ayam gepuk, jadi ia memudahkan saya untuk beli ayam gepuk bila-bila mas sahaja.’ kata Sabrina, pelajar komunikasi sosial semester 4.

Selain harga, sambal pedas juga menjadi tarikan utama ayam gepuk. Ramai pelajar gemar mencabar diri mencuba tahap kepedasan yang berbeza, malah ada yang sanggup beratur panjang semata-mata mahu menikmati sambal yang viral di media sosial. Bagi sesetengah mahasiswa, makanan pedas memberi kepuasan dan membantu menghilangkan tekanan selepas menghadiri kelas atau menyiapkan tugasan akademik. 

‘Saya memang suka makan makanan yang pedas jadi ayam gepuk menjadi pilihan utama saya kalau saya nak makan di UPSI.’ kata Hazuma, pelajar ISMP kimia, semester 6.

Walau bagaimanapun, pengambilan makanan pedas dan berminyak secara berlebihan boleh memberi kesan terhadap kesihatan. Pelajar perlu mengamalkan pemakanan yang seimbang dan tidak terlalu bergantung kepada makanan segera atau makanan pedas setiap hari. Kesedaran tentang penjagaan kesihatan perlu diterapkan agar mahasiswa dapat mengekalkan gaya hidup yang sihat walaupun sibuk dengan kehidupan kampus.

Kesimpulannya, populariti ayam gepuk dalam kalangan pelajar UPSI bukan sahaja berpunca daripada rasanya yang sedap, tetapi juga dipengaruhi oleh faktor harga, media sosial dan budaya kehidupan mahasiswa masa kini. Fenomena ini menunjukkan bahawa makanan bukan sekadar keperluan harian, malah menjadi sebahagian daripada gaya hidup dan identiti generasi muda di UPSI.