HARGA SETINGGAN, RASA KAYANGAN: KISAH MATCHAMI DI UPSI

 Oleh:Nor Bazlaa Damia, Ridianatasya & Dr. Sauffiyan Abu Hasan

(Gambar 1: Sesi temubual bersama pengasas MatcAmi)

Tanjung Malim - Ketika kebanyakan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mula merehatkan diri selepas seharian menghadiri kuliah, seorang mahasiswa masih sibuk mengacau serbuk matcha di ruang tamu rumah sewanya demi memenuhi tempahan pelanggan yang tidak putus-putus masuk sehingga awal pagi. Bermula sekadar hobi selepas menerima set matcha sebagai hadiah hari jadi, perniagaan kecil yang dikenali sebagai MatchAmi itu kini semakin mendapat perhatian dalam kalangan warga kampus, khususnya pelajar yang berjaga lewat malam untuk mengulang kaji pelajaran.

Perniagaan tersebut bukan sahaja menjadi sumber pendapatan sampingan buat Ami, malah turut memenuhi permintaan pelajar yang mencari minuman pada waktu lewat malam di kawasan kolej kediaman. Di kolej kediaman seperti Kolej Za’ba yang agak sunyi pada waktu malam, kekurangan pilihan makanan dan minuman memberi peluang kepada Ami untuk memperkenalkan minuman matcha sebagai alternatif kepada pelajar. Menurut Ami, idea untuk memulakan perniagaan ini tercetus apabila beliau menyedari tiada peniaga yang menjual minuman matcha pada waktu lewat malam. 

Dalam masa sama, Ami terpaksa menghentikan kerja sambilannya sebagai pemandu e-hailing selepas keretanya terlibat dalam kemalangan, sekali gus mendorongnya mencari sumber pendapatan lain. “Lepas kemalangan kereta, saya dah tak boleh teruskan kerja e-hailing,” katanya. Ami berkata set matcha yang diterimanya sebagai hadiah hari jadi kemudian menjadi titik permulaan kepada perniagaan tersebut. “Kebetulan dapat hadiah set matcha masa hari jadi, jadi saya cuba jadikan ia sebagai bisnes,” katanya. 

Pada peringkat awal, jualan hanya mencecah sekitar lima cawan sehari dan terhad kepada rakan terdekat. Namun, selepas menerima maklum balas positif, Ami mula memperluaskan jualan melalui kumpulan WhatsApp kolej serta media sosial. “Kita mula slow-slow dengan kawan terdekat dulu. Lepas semua kata sedap, baru berani jual lebih luas. Sekarang boleh cecah 50 cawan sehari,” jelasnya. Fenomena pelajar menjalankan perniagaan kecil-kecilan kini semakin berkembang dalam kalangan mahasiswa berikutan peningkatan kos sara hidup. Selain membantu menambah pendapatan, perniagaan seperti MatchAmi turut memberi kemudahan kepada pelajar lain yang memerlukan minuman pada waktu lewat malam, khususnya ketika musim peperiksaan. Waktu operasi MatchAmi yang bermula sekitar jam 8.30 malam hingga 1 pagi, malah kadangkala sehingga 4 pagi, menjadikannya pilihan utama pelajar yang berjaga lewat. Waktu paling sibuk adalah antara jam 9.30 hingga 11.30 malam, terutamanya ketika minggu peperiksaan. “Time exam memang paling peak sebab ramai tak tidur. Pukul 1 sampai 4 pagi pun masih ada yang order,” katanya.

Selain itu, keunikan rasa dan harga yang berpatutan turut menjadi tarikan utama. Malah, ramai pelanggan menggambarkan minuman tersebut sebagai “harga setinggan, rasa kayangan”. Seorang pelanggan tetap, Nurul Syafiqah, berkata MatchAmi sering menjadi pilihannya ketika mengulang kaji pelajaran pada waktu malam. Menurutnya, rasa matcha yang tidak terlalu manis serta harga yang berpatutan menjadikan minuman tersebut popular dalam kalangan pelajar. “Kalau study sampai lewat malam memang ramai cari matcha sebab boleh bagi tenaga sikit. Harga dia pun murah untuk student,” katanya. Walaupun perniagaan semakin berkembang, Ami mengakui cabaran utama adalah pengurusan masa. Pada siang hari, beliau perlu memberi tumpuan pada kuliah dan tugas sebagai pelajar semester empat dalam bidang kaunseling, manakala waktu malam pula digunakan sepenuhnya untuk menguruskan perniagaan. “Memang penat sebab waktu malam tak boleh rehat. Kadang tidur pukul 3 atau 4 pagi, tapi kelas tetap kena datang,” katanya. Bagi mengurangkan beban, Ami kini dibantu oleh rakan serumahnya yang dilatih untuk menyediakan minuman, sementara beliau menguruskan penghantaran kepada pelanggan.



(Gambar 2: Kad ganjaran MatchAmi)

Walaupun berdepan kekangan, Ami tidak pernah terfikir untuk berhenti. “Setakat ni tak pernah rasa nak give up sebab nampak penerimaan orang. Ramai yang masih cari dan tanya buka atau tak, jadi sayang nak berhenti,” ujarnya. Sebagai usaha menghargai pelanggan, MatchAmi turut memperkenalkan kad ganjaran yang membolehkan pelanggan menebus minuman percuma selepas beberapa pembelian. 

Melangkah ke hadapan, Ami berharap dapat mengembangkan perniagaan ini dengan membuka gerai fizikal di kampus. Malah, beliau turut memasang impian untuk memiliki kafe sendiri suatu hari nanti. “Misi sekarang nak buka booth dulu. Kalau ada rezeki lepas habis belajar, saya nak besarkan lagi bisnes ni dan buka kafe sendiri,” katanya penuh harapan. Dalam dunia kampus yang dipenuhi tekanan akademik dan cabaran kewangan, MatchAmi bukan sekadar menjual minuman matcha, tetapi turut menjadi simbol kreativiti dan ketahanan seorang mahasiswa dalam mencipta peluang daripada kesukaran. Dari ruang tamu kecil di kolej kediaman, perniagaan tersebut kini berkembang menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk berani memulakan langkah sendiri.