Kafe Peta Dunia Menjadi Pusat Komuniti Setempat Bukan Sekadar Trend

 

Oleh: Mohamad Ezhan Rieqmal dan Avioletha Anne 

TANJONG MALIM, 27 April 2026 - Di satu sudut pekan mualim yang tenang ini, tersimpit sebuah

ruang yang tidak mahu dikenali hanya sebagai “kafe”. Apabila anda melangkah masuk ke Peta Dunia

Cafe, anda tidak hanya disambut dengan aroma kopi yang memikat, tetapi juga dengan naratif perjalanan

hidup seorang lelaki yang telah mengelilingi dunia sebelum memutuskan untuk “berlabuh” di sini.

Bagi Mohd Ulul Khalili Bin Kamil, 42, kehidupan adalah sebuah kembara tanpa peta yang tetap.

Setelah menghabiskan hampir 20 tahun merantau dari Amerika Syarikat ke China, Vietnam, Thailand, India,

hingga ke Nepal, beliau membawa pulang lebih daripada sekadar kenangan; beliau membawa jiwa dunia ke

Tanjong Malim.

Peta Dunia Cafe bukan sekadar premis perniagaan makanan dan minuman. Ia adalah apa yang

dipanggil oleh Khalil sebagai Creative Connection Centre. Di sebalik hiasan barang-barang koleksi

peribadi yang unik, kafe ini berfungsi sebagai platform pertukaran kreatif dan budaya, menyatukan

pengalaman global dengan komuniti setempat.

"Saya memulakan kembara seawal usia 16 tahun. Meninggalkan Amerika untuk melihat dunia, menyelami

budaya, dan melakukan kerja-kerja amal," ujar Khalil memulakan bicara. Pengalaman luasnya dalam bidang

kreatif, pengiklanan, hingga ke psikologi membentuk falsafah unik di sebalik penubuhan kafe ini.

Nama 'Peta Dunia' dipilih bukan secara kebetulan. Ia adalah manifestasi perjalanan fizikal dan spiritual beliau.

"Saya mahu tempat ini menjadi ruang terbuka. Apa sahaja yang berkaitan dengan pertukaran kreatif, pintu kami

sentiasa terbuka," tambahnya lagi.

Salah satu daya tarikan utama yang membezakan Peta Dunia dengan rangkaian kafe besar

yang lain adalah keaslian menunya. Sebenarnya, menu utama di kafe ini asalnya ialah bar jus

buah-buahan manakala kopi hanyalah menu sampingan sahaja. Di sini, sains di sebalik

penyediaan minuman diambil serius. Khalil memperkenalkan menu “killer”yang dikenali sebagai

Cold brew tea.

“Kami menggunakan enam ke tujuh jenis herba atau teh yang diperap antara 9 hingga 48 jam

untuk mengeluarkan aroma dan jus yang sempurna,” jelas Khalil. Teknik ini digabungkan dengan

puri buah-buahan asli seperti pic, mangga, dan nanas yang dihasilkan sendiri, memberikan rasa

yang jauh lebih jujur berbanding minuman berperisa sintetik di pasaran.

Walaupun berbekalkan pengalaman antarabangsa, Khalil tetap merendah diri dan mahu

setiap pengunjung merasa seperti berada di rumah sendiri. Beliau percaya bahawa setiap individu

yang singgah membawa cerita tersendiri yang boleh menyumbang kepada ekosistem kreatif di Tanjong Malim.

Peta Dunia Cafe adalah bukti bahawa sesebuah perniagaan komuniti boleh memiliki visi global tanpa kehilangan sentuhan tempatan. Bagi mereka yang mencari lebih daripada sekadar secawan kafein, ruang ini menawarkan inspirasi daripada saki-baki sejarah dunia yang disusun rapi di setiap sudut dindingnya.

Seperti kata Khalil, kembara beliau mungkin berhenti seketika di Tanjong Malim, namun melalui Peta Dunia, dunia itulah yang kini datang menemui warga mualim.