Oleh: Nor Bazlaa Damia & Dr. Ahmad Saufiyyan Bin Abu Hasan
Kafe Wellness di Blok 7, Fakulti Pembangunan Manusia, UPSI
TANJUNG MALIM - Di sebalik kesibukan kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), tersembunyi sebuah kafe kecil yang semakin mencuri perhatian pencinta matcha dalam kalangan mahasiswa. Terletak di Blok 7, Fakulti Pembangunan Manusia UPSI, Wellness Cafe menawarkan suasana santai dan pilihan minuman berasaskan matcha yang menjadi alternatif kepada minuman biasa di sekitar kampus. Trend minuman berasaskan matcha kini semakin popular dalam kalangan generasi muda termasuk mahasiswa universiti. Selain dianggap lebih sihat berbanding minuman biasa, matcha juga menjadi pilihan pelajar yang ingin kekal segar ketika menghadiri kelas atau menyiapkan tugasan sehingga lewat malam. Walaupun belum dikenali secara meluas dalam kalangan warga kampus, kafe tersebut semakin mendapat perhatian pelajar yang gemar mencuba minuman berasaskan matcha.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, minuman berasaskan matcha semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda kerana rasanya yang unik serta kandungan kafein semula jadi yang membantu meningkatkan fokus. Trend tersebut turut mempengaruhi gaya hidup mahasiswa yang sering mencari minuman alternatif ketika menghadiri kelas, menyiapkan tugasan atau mengulang kaji pelajaran sehingga lewat malam. Bagi sesetengah pelajar, minuman seperti matcha bukan lagi sekadar trend media sosial, tetapi menjadi sebahagian daripada rutin harian mereka di kampus.
Menurut pemilik Wellness Cafe, idea membuka kafe tersebut tercetus bagi menawarkan pilihan minuman yang berbeza kepada pelajar UPSI, khususnya penggemar matcha. Antara menu yang menjadi pilihan pelanggan adalah minuman berasaskan matcha yang turut dipromosikan melalui platform media sosial seperti TikTok dan Instagram. Menurut pemilik kafe tersebut, penggunaan media sosial memainkan peranan penting dalam menarik perhatian pelanggan, khususnya mahasiswa yang aktif menggunakan platform digital. Video pendek yang memaparkan proses penyediaan minuman dan suasana kafe membantu meningkatkan jumlah pelanggan, terutamanya dalam kalangan pelajar yang gemar mencuba tempat makan baharu di sekitar kampus. Dengan suasana yang tenang dan susun atur yang ringkas, Wellness Cafe sering menjadi lokasi pilihan pelajar untuk berehat selepas kelas atau menyiapkan tugasan bersama rakan-rakan.
Pada waktu petang, suasana kafe menjadi lebih meriah dengan kehadiran pelanggan yang ingin menikmati minuman sambil berbual atau mengulang kaji pelajaran. Selain menjadi lokasi untuk menikmati minuman, Wellness Cafe juga sering dijadikan tempat pertemuan pelajar selepas tamat kelas. Ada pelanggan yang datang untuk berbincang tugasan berkumpulan, manakala sebahagian lagi memilih untuk berehat sambil menikmati suasana yang lebih tenang berbanding kawasan lain di kampus. Kehadiran muzik yang perlahan dan ruang tempat duduk yang selesa turut menjadikan pengalaman pelanggan lebih santai. Namun begitu, masih ramai pelajar yang tidak mengetahui kewujudan kafe tersebut kerana persaingan dengan premis makanan lain di sekitar kampus.
(Gambar 2: Antara menu matcha yang popular di Kafe Wellness)
Kebanyakan pelanggan mengetahui tentang Wellness Cafe melalui rakan-rakan atau media sosial seperti TikTok dan Instagram. Seorang pelanggan, Nur Alya, berkata rasa matcha yang ditawarkan di Wellness Cafe berbeza daripada minuman lain di sekitar UPSI. “Rasa dia lebih creamy dan tak terlalu manis. Tempat dia pun selesa untuk lepak dengan kawan,” katanya. Nur Alya turut berkata beliau mula mengetahui tentang Wellness Cafe selepas melihat video promosi di TikTok yang dimuat naik oleh pelanggan lain. Menurutnya, media sosial banyak membantu memperkenalkan lokasi makanan dan minuman yang kurang dikenali dalam kalangan mahasiswa. “Kadang-kadang tempat yang viral ni buat orang tertarik nak cuba sendiri. Lepas datang sini memang rasa berbaloi,” katanya. Seorang lagi pelanggan, Amir Hakim, berkata beliau sering mengunjungi kafe tersebut selepas kelas kerana suasananya yang lebih tenang berbanding premis lain di sekitar kampus.
Bagi Amir, suasana kafe yang tidak terlalu sesak membolehkan pelajar meluangkan masa dengan lebih selesa. Beliau berkata kebanyakan pelanggan terdiri daripada mahasiswa yang ingin mencari tempat santai selepas menghadiri kuliah sepanjang hari. “Biasanya petang memang ramai student datang lepak atau buat assignment dekat sini,” katanya. Menurutnya, harga yang berpatutan turut menjadi faktor utama pelajar memilih Wellness Cafe.
Suasana yang selesa dan layanan mesra pekerja menjadikan Wellness Cafe antara lokasi yang sesuai untuk pelajar meluangkan masa bersama rakan-rakan selepas menghadiri kuliah. Walaupun menerima sambutan positif daripada pelanggan tetap, pemilik kafe mengakui cabaran utama adalah untuk memperkenalkan Wellness Cafe kepada lebih ramai warga kampus. Kekurangan promosi dan persaingan dengan premis lain menyebabkan masih ramai pelajar yang belum mengetahui kewujudan kafe tersebut. Selain itu, faktor lokasi yang agak tersorok di kawasan fakulti turut menjadi cabaran untuk menarik pelanggan baharu. Namun begitu, pemilik kafe percaya promosi secara konsisten melalui media sosial dan sokongan pelanggan tetap mampu membantu meningkatkan populariti Wellness Cafe pada masa akan datang.
Walaupun masih belum dikenali secara meluas dalam kalangan warga kampus, Wellness Cafe membuktikan bahawa sebuah ruang kecil juga mampu memberi pengalaman yang bermakna kepada mahasiswa. Dengan suasana yang santai, pilihan minuman yang unik dan sokongan pelanggan tetap, kafe tersebut berpotensi menjadi antara lokasi pilihan pelajar UPSI untuk berehat dan meluangkan masa bersama rakan-rakan selepas menghadiri kuliah.