Oleh: Muhamad Iman Ziedan bin Suhaidi, Ahmad Sauffiyan bin Abu Hasan
TANJUNG MALIM - Isu penyebaran berita palsu semakin membimbangkan dalam kalangan masyarakat apabila maklumat tidak sahih mudah tular melalui media sosial.
Perkembangan pesat teknologi komunikasi serta penggunaan platform seperti Facebook, WhatsApp dan TikTok dilihat menjadi antara punca utama penularan berita palsu. Sikap segelintir pengguna yang berkongsi maklumat tanpa menyemak kesahihan turut memburukkan keadaan.
Hasil temubual bersama dua orang responden mendapati mereka sependapat bahawa berita palsu memberi kesan negatif kepada masyarakat. Salah seorang responden menyatakan bahawa penyebaran maklumat tidak benar boleh mengelirukan orang ramai serta mencetuskan panik.
“Berita palsu ini memang tidak baik kerana boleh menyebabkan orang ramai salah faham dan mudah percaya kepada perkara yang tidak benar,” katanya.
Seorang lagi responden turut bersetuju dan menegaskan bahawa berita palsu boleh merosakkan hubungan dalam masyarakat jika tidak dikawal.
“Apabila berita tidak sahih disebarkan, ia boleh menimbulkan pergaduhan dan ketegangan antara masyarakat,” ujarnya.
Selain itu, berita palsu juga berpotensi menjejaskan reputasi individu dan organisasi serta menggugat keharmonian negara. Hasil daripada dua responden yang ditemu bual mendapati bahawa kesan penyebaran berita palsu dapat merenggangkan hubungan antara satu sama lain.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam berkongsi maklumat. Tindakan menyemak kesahihan sumber sebelum menyebarkan sesuatu berita amat penting bagi membendung penularan maklumat palsu.
Kesimpulannya, kerjasama semua pihak diperlukan bagi memastikan isu berita palsu dapat ditangani dengan berkesan demi kesejahteraan masyarakat.