Secawan Kopi, Secebis Harapan: Usaha Pelajar Tampung Kos Sara Hidup di Universiti

 

Oleh : Muhamad Iman Ziedan bin Suhaidi, Dr. Ahmad Sauffiyan bin Abu Hasan 

TANJUNG MALIM - Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat, ramai mahasiswa memilih untuk mencari inisiatif sendiri bagi menampung perbelanjaan sepanjang tempoh pengajian. Bagi Muhamad Faris bin Mad Nasir, 24, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (Sains Kejurulatihan), semester 5 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), langkah berani menceburi dunia perniagaan telah membuka peluang bukan sahaja untuk menjana pendapatan, malah menjadi platform membina pengalaman sebagai usahawan muda.

Pemilik perniagaan Kopi Cutie itu berkongsi bahawa keputusan untuk memulakan perniagaan ketika masih bergelar mahasiswa didorong oleh keinginan untuk berdikari dari segi kewangan.

Menurutnya, sebagai seorang lelaki, beliau tidak mahu terlalu bergantung kepada keluarga untuk menanggung kos pendidikan dan perbelanjaan harian di universiti. Oleh itu, beliau mengambil inisiatif untuk memulakan perniagaan sebagai usaha membantu menampung keperluan kewangan sendiri.

“Selain mahu menjana pendapatan, saya memang mempunyai minat yang mendalam dalam bidang perniagaan. Sebelum ini, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya pernah menjalankan perniagaan sim kad. Pengalaman itu memberi pendedahan awal kepada saya tentang dunia perniagaan dan menjadi titik permulaan kepada penubuhan Kopi Cutie,” katanya.

Mengimbangi tanggungjawab sebagai pelajar dan usahawan sememangnya bukan perkara mudah. Namun, Faris mempunyai strategi tersendiri bagi memastikan kedua-dua tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan baik.

Bagi melancarkan operasi, beliau melantik dua orang pekerja untuk membantu menguruskan perniagaan. Seorang bertugas sebagai barista yang menyediakan minuman, manakala seorang lagi bertanggungjawab menguruskan penghantaran pesanan kepada pelanggan.

Dengan adanya sistem pengurusan tersebut, beliau dapat memberi tumpuan kepada aspek pemantauan perniagaan seperti pengurusan stok dan operasi keseluruhan, selain memastikan komitmen akademik tidak terabai.

“Sekiranya pekerja tidak dapat bertugas, barulah saya mengambil alih tugas tersebut. Sistem ini membantu saya mengurus masa dengan lebih baik,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, perjalanan sebagai pelajar usahawan tidak terlepas daripada cabaran. Antara cabaran terbesar yang dihadapi ialah kenaikan harga bahan mentah yang memberi kesan langsung kepada kos operasi perniagaan.

Walaupun berdepan tekanan kos yang meningkat, beliau memilih untuk mengekalkan harga minuman pada kadar mesra pelajar kerana memahami kekangan kewangan yang dihadapi oleh majoriti mahasiswa.

“Ada kalanya saya terpaksa menggunakan wang simpanan sendiri untuk membeli bahan mentah bagi memastikan operasi dapat diteruskan seperti biasa,” katanya.

Menurut Faris, perniagaan Kopi Cutie banyak membantu dari segi kewangan sepanjang tempoh pengajian. Pendapatan yang diperoleh bukan sahaja dapat menampung perbelanjaan harian, malah membolehkan beliau menyimpan wang untuk kegunaan masa hadapan.

Perniagaan itu juga berjaya mengurangkan tekanan kewangan yang sering dihadapi oleh mahasiswa, sekali gus memberikan kestabilan untuk meneruskan pengajian dengan lebih tenang.

Bagi menarik pelanggan dalam kalangan pelajar kampus, beliau menggunakan beberapa strategi pemasaran yang efektif. Antaranya termasuk menawarkan harga yang berpatutan, menjalankan promosi seperti penghantaran percuma dan pakej istimewa “Triangle Sale” iaitu tiga minuman pada harga RM20.

Selain itu, beliau turut memanfaatkan platform digital seperti kumpulan WhatsApp jual beli universiti dan aplikasi TikTok untuk memperluaskan capaian pemasaran serta memperkenalkan menu baharu kepada pelanggan.

Mengulas mengenai perancangan masa hadapan, beliau berharap Kopi Cutie dapat terus berkembang walaupun beliau bakal menamatkan pengajian di UPSI.

Beliau berharap rakan-rakan yang bersama-sama menguruskan perniagaan itu dapat meneruskan legasi Kopi Cutie di universiti. Dalam masa yang sama, beliau bercadang untuk mengembangkan perniagaan tersebut di kawasan tempat tinggalnya dengan impian membuka car booth, kafe atau premis sendiri suatu hari nanti.

Sebagai pesanan kepada pelajar lain yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan, beliau menekankan kepentingan minat, ilmu asas serta keberanian untuk memulakan langkah pertama.

“Pelajar perlu sentiasa kreatif, inovatif dan tidak mudah berputus asa. Setiap cabaran dan kegagalan adalah proses pembelajaran yang sangat berharga untuk mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya.

Kisah Muhamad Faris membuktikan bahawa secawan kopi bukan sekadar minuman, tetapi simbol usaha, ketabahan dan harapan seorang mahasiswa dalam menghadapi cabaran kos sara hidup di universiti.