Oleh: CaronelLa Jamis dan Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hasan
TANJONG MALIM, 17 Mei – Exco Bahasa Kadazandusun di bawah Persatuan Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (IKSAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya menganjurkan program Kanou Minsingilo Koubasanan KDMR secara dalam talian bagi memperkenalkan dan memartabatkan warisan budaya Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR) dalam kalangan mahasiswa/i UPSI.
Program ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan khususnya daripada mahasiswa/i yang berasal dari Sabah serta peserta yang berminat untuk mengenali keunikan budaya KDMR dengan lebih dekat. Penganjuran program ini bertujuan untuk memberi pendedahan berkaitan tradisi, bahasa serta warisan budaya masyarakat KDMR agar terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi muda.
Pengarah program, Caronella Jamis dalam ucapannya berkata, program tersebut merupakan satu inisiatif penting dalam memastikan warisan budaya tidak luput ditelan arus pemodenan dan globalisasi. Beliau turut menegaskan bahawa budaya bukan sekadar tinggalan sejarah, tetapi menjadi lambang identiti dan jati diri sesuatu bangsa.
“Melalui program ini, kesedaran dalam kalangan generasi muda dapat dipupuk agar tradisi dan warisan budaya KDMR terus dihargai dan dilestarikan,” katanya.
Selain itu, program ini juga selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 4) iaitu Pendidikan Berkualiti menerusi pendekatan pembelajaran berasaskan budaya. Inisiatif seperti ini dilihat mampu memperkukuhkan semangat perpaduan serta memartabatkan warisan budaya dalam kalangan mahasiswa universiti.
Sepanjang program berlangsung, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai pengisian menarik berkaitan budaya KDMR yang bukan sahaja memberi pengetahuan baharu, malah menyemai rasa bangga terhadap kepelbagaian budaya masyarakat Sabah.
Pihak penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa pelaksana, tetamu jemputan serta peserta yang telah memberikan komitmen dan kerjasama dalam menjayakan program tersebut.
Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha berterusan dalam melestarikan budaya KDMR serta membentuk generasi muda yang beridentiti, berilmu dan menghargai warisan budaya negara.