Oleh: Anis Syazwani & Dr.
Ahmad Sauffiyan bin Abu Hasan
Tanjong Malim, 11 Mei
2026 – Kehidupan seseorang yang bergelar mahasiswa di Universiti Pendidikan
Sultan Idris (UPSI) bukan sahaja hanya aktif kuliah di dalam kelas, malah masa
yang berharga itu juga turut dipenuhi dengan pelbagai aktiviti di luar bilik
kuliah yang dapat membentuk jati diri serta kemahiran insaniah kepada mereka.
Antara aktiviti yang menjadi
tumpuan ialah program Global Outreach Mobility UPSI, dimana program ini dapat memperlihatkan
penglibatan pelajar dalam aktiviti kreatif dan kolaboratif bersama rakan
mahasiswa lain termasuklah rakan mahasiswa daripada Universitas Mercu Buana
Yogyakarta (UMBY), Indonesia. Dalam program seperti ini, pelajar bukan sahaja hadir
sebagai peserta, tetapi turut sama menyumbang idea, tenaga, dan kreativiti
dalam menghasilkan sesuatu yang bermakna iaitu aktiviti penghasilan batik.
Berdasarkan suasana program
tersebut, kelihatan sekumpulan pelajar UPSI dan UMBY sedang bekerjasama untuk
melengkapkan lukisan batik itu yang ddipenuhi dengan elemen flora
berwarna-warni. Aktiviti ini bukan sahaja dapat dmenonjolkan bakat seni
pelajar, malah menjadi medium untuk mengeratkan hubungan antara mereka melalui
kerja berpasukan.
Walaupun kelihatan santai, program seperti ini sebenarnya
membawa nilai pembelajaran yang besar. Pelajar dapat belajar cara untuk berkomunikasi
dengan lebih berkesan, menyusun strategi kerja, dan menghargai pandangan orang
lain dalam menghasilkan satu hasil akhir yang sempurna. Setiap lukisan dan
calitan warna pada lukisan tersebut menggambarkan kerjasama, kesabaran dan
kesungguhan dalam mencapai satu matlamat bersama.
Seorang pelajar yang terlibat
dalam program ini, Nur Aqilah, 22 tahun, menyatakan bahawa pengalaman ini telah
membuka ruang kepadanya untuk keluar daripada rutin akademik yang biasa. “Bila
join program macam ni, kita rasa lebih dekat dengan kawan-kawan dan belajar
benda baru yang tak ada dalam kelas,” katanya.
Selain itu, seorang pelajar
UPSI yang lain, Nur Adlina Aiman, 22 tahun, berpendapat bahawa aktiviti seperti
ini dapat membantu dia untuk lebih berkeyakinan dewaktu berkomunikasi dan
bergaul bersama rakan-rakan. “Saya rasa program macam ni sangat membantu saya
dari segi keyakinan diri. kita dapat belajar cara nak berinteraksi dan
melakukan kerja dengan orang lain. Ini sangat penting terutamanya apabila sudah
memasuki alam pekerjaan nanti”, katanya.
Program berbentuk kreativiti ini
jelas menunjukkan bahawa UPSI bukan sahaja dapat melahirkan graduan yang
cemerlang dari segi akademik, tetapi juga dapat melahirkan individu yang
kreatif, berkeyakinan dan mampu bekerjasama dalam pelbagai situasi. Hal ini
kerana selepas melalui hari yang sibuk dengan kuliah, mereka diberi peluang
untuk berehat secara aktif sambil melakukan aktiviti yang bermanfaat dan
menyeronokkan.
Kesimpulannya, kehidupan
mahasiswa UPSI hari ini bukan sekadar dari kuliah ke program, tetapi juga dari
ilmu ke pengalaman. Setiap aktiviti yang disertai menjadi sebahagian daripada
perjalanan untuk membentuk insan yang lebih holistik dan bersedia dalam
menghadapi cabaran pada alam pekerjaan.