Oleh: Mayveline Anak Nakan, Caronella Jamis & Dr Sauffiyan Abu Hasan
Tanjong Malim, 26 April 2026 - Minat terhadap kopi dan dunia fotografi mendorong Muhd Aminuddin, atau lebih dikenali sebagai Gob, seorang produser radio di Astro, untuk membuka Fotokopi Cafe berhampiran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Kafe ini bukan sekadar tempat minum kopi, tetapi juga ruang komuniti yang menggabungkan konsep studio fotografi dengan sajian minuman dan makanan berdasarkan cita rasa lokal.
Gob menjelaskan bahawa dua rakan kongsi melabur lebih RM105, 000 bagi menjayakan kafe ini. Walaupun berdepan cabaran kewangan dan pengalaman ditipu ketika membeli perabot secara dalam talian, Gob tetap menekankan kepentingan suasana kerja yang santai tanpa hierarki ketat.
Dari segi pemasaran, beliau menggunakan platform TikTok, Instagram, Facebook dan Telegram untuk menarik pelanggan, khususnya pelajar UPSI. “Marketing in 2025 is king in everything. Even roadside stalls use TikTok Lives to promote their business,” jelasnya sambil menekankan bahawa sekurang-kurangnya 15 peratus bajet bulanan diperuntukkan untuk promosi.
Menu kafe turut disesuaikan dengan selera tempatan, antaranya Spaghetti Masak Lemak Cili Api, bagi memastikan ia dekat dengan komuniti setempat. Gob juga mengadakan sesi R&D bulanan untuk menilai menu berdasarkan data jualan dan maklum balas pelanggan.
Selain itu, beliau terbuka untuk bekerjasama dengan pelajar dalam projek kampus, termasuk menyediakan ruang untuk penggambaran atau kolaborasi acara. Sponsorship pula akan dipertimbangkan apabila perniagaan mencapai tahap kewangan yang stabil.
Kisah Fotokopi Café memperlihatkan bagaimana seorang anak muda menggabungkan minat, strategi dan nilai komuniti dalam dunia keusahawanan. Ia bukan sekadar kafe, tetapi juga simbol keberanian mencuba dan berinovasi di tengah-tengah persaingan industri makanan dan minuman.