Jabatan Komunikasi (JKOM) UPSI Perkukuh Hubungan Akademik dan Industri Menandatangani Memorandum Persefahaman Bersama Lima Rakan Strategik Industri
Oleh Akmal Haziq Sulaiman & Dr Ahmad Sauffiyan bin Abu Hasan
TANJONG MALIM, 21 MEI 2026 – Jabatan Komunikasi (JKOM), Fakulti Bahasa dan Komunikasi,
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengorak langkah signifikan
dalam memperkukuhkan jaringan kerjasama strategik antara akademik dan industri
menerusi penganjuran Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU)
bersama lima rakan kolaborasi industri, iaitu SKOP Production, Aaron Aziz
Production, Noir Health & Beauty, OhMyMedia dan AQ Energy Sdn. Bhd.
Majlis yang berlangsung dengan penuh
gilang-gemilang itu telah dimeterai oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md
Taff, Naib Canselor UPSI, sebagai tanda komitmen universiti dalam
memperluaskan kerjasama strategik yang mampu memberi manfaat kepada pembangunan
akademik, penyelidikan dan kebolehpasaran graduan. Turut hadir ialah Timbalan
Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Dekan Fakulti Bahasa dan
Komunikasi, Dekan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Dekan
Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif, serta dif-dif kehormat lain
daripada pelbagai organisasi dan industri.
Pemeteraian Memorandum Persefahaman
ini bertujuan memperkukuhkan hubungan antara institusi pendidikan tinggi dan
pihak industri dalam usaha melahirkan graduan yang lebih kompeten, berdaya
saing serta memenuhi keperluan pasaran pekerjaan semasa. Melalui kerjasama yang
terjalin, pelbagai inisiatif dapat dilaksanakan termasuk program latihan
industri, perkongsian kepakaran profesional, penyelidikan bersama, pembangunan
projek kreatif serta peluang pembelajaran berasaskan pengalaman industri
sebenar.
Rajah 2: Sesi pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman antara UPSI dan
wakil industri yang menandakan permulaan kerjasama strategik antara akademia
dan industri.
Selain memperkukuhkan hubungan
akademik dan industri, majlis ini turut menjadi platform bagi memperkenalkan
dan mempromosikan program-program akademik yang ditawarkan di bawah Jabatan
Komunikasi UPSI kepada rakan industri. Antaranya ialah Sarjana Muda
Komunikasi (Penciptaan Kandungan) [AB15], sebuah program yang memberi
penekanan kepada penghasilan kandungan digital, penerbitan media, produksi
kreatif dan komunikasi kontemporari yang selari dengan perkembangan industri
media masa kini.
Program AB15 yang bakal ditawarkan
kepada pelajar membuka peluang untuk melahirkan graduan yang berkemahiran
tinggi dalam bidang penciptaan kandungan digital serta pengurusan media
kreatif. Pengenalan program ini kepada pihak industri diharap dapat membuka
ruang kolaborasi yang lebih luas melibatkan latihan profesional, penempatan
industri dan pembangunan bakat secara berterusan.
Rajah 3: Antara wakil industri yang hadir pada majlis pemeteraian MoU
bersama barisan pengurusan tertinggi UPSI.
Kerjasama yang dimeterai juga dijangka
dapat memperluaskan jaringan profesional dan peluang pembangunan kerjaya kepada
para pelajar Sarjana Muda Komunikasi (Komunikasi Sosial) [AB14]. Melalui
penglibatan secara langsung dengan organisasi industri, pelajar berpeluang
memperoleh pendedahan terhadap amalan profesional, memahami kehendak industri
serta membina kemahiran insaniah dan teknikal yang diperlukan dalam dunia
pekerjaan sebenar.
Kolaborasi ini turut membuka ruang
kepada pelaksanaan program mentor industri, bengkel profesional, sesi
perkongsian pengalaman, projek kolaboratif dan pelbagai aktiviti pembangunan
bakat yang mampu meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan selepas tamat
pengajian.
Rajah 4: YBhg. Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff bergambar bersama Timbalan
Naib Canselor, dekan-dekan fakulti serta wakil industri selepas sesi
pemeteraian MoU.
Dalam ucapannya, pihak universiti
menegaskan bahawa hubungan erat antara akademia dan industri merupakan elemen
penting dalam memastikan graduan yang dihasilkan bukan sahaja memiliki
pengetahuan teori yang kukuh, malah berupaya mengaplikasikan ilmu tersebut
secara efektif dalam persekitaran profesional. Kolaborasi strategik seperti ini
juga berupaya mewujudkan ekosistem pendidikan yang lebih dinamik dan relevan
dengan keperluan semasa negara.
Majlis diteruskan dengan sesi jaringan
profesional yang memberi peluang kepada pihak universiti dan industri untuk
berbincang mengenai pelbagai bentuk kerjasama yang boleh dilaksanakan pada masa
hadapan demi manfaat bersama.
Penganjuran majlis ini mencerminkan
komitmen berterusan Jabatan Komunikasi UPSI dalam memperluaskan jaringan
industri, memperkasa pembangunan bakat mahasiswa serta mengukuhkan peranan
universiti sebagai institusi yang responsif terhadap kehendak dan perkembangan
industri. Diharapkan kerjasama yang terjalin akan menjadi pemangkin kepada
pelaksanaan lebih banyak program berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada
pelajar, universiti, industri dan masyarakat secara keseluruhannya.
Kerjasama antara UPSI dan SKOP
Production, Aaron Aziz Production, Noir Health & Beauty, OhMyMedia serta AQ
Energy Sdn. Bhd. diharap menjadi asas kukuh kepada pembangunan modal insan yang
berkualiti, inovatif dan bersedia menghadapi cabaran industri masa hadapan.