NextGen Leaders Camp Perkasa Jati Diri Pemimpin Murid

 

 

Barisan Guru dan Fasilitator NextGen Leaders Camp SMK Dato’ Zulkifli Muhammad. (DZ Photo/NextGen Leaders Camp)


Oleh: Mohd Faridzuan Mohd Nazri & Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hasan

SLIM RIVER – Nilai adab, kerjasama dan keyakinan diri menjadi antara penekanan utama dalam Program NextGen Leaders Camp yang berlangsung di SMK Dato’ Zulkifli Muhammad pada minggu lalu. 


Program anjuran Unit Hal Ehwal Murid dengan kerjasama Unit Bimbingan dan Kaunseling itu dilaksanakan bagi memperkasa barisan kepimpinan murid melalui pendekatan aktiviti berasaskan pengalaman. Program tersebut turut mendapat kerjasama fasilitator daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang membantu mengendalikan pelbagai aktiviti sepanjang program berlangsung. 


Pengetua SMK Dato’ Zulkifli Muhammad, Pn. Hjh. Sharizan binti Shafie berkata, program seumpama itu penting dalam membina jati diri murid, khususnya dalam kalangan pelajar yang memegang peranan sebagai pemimpin sekolah. 


“Program ini penting kerana ia bertujuan membina jati diri murid sebagai seorang pemimpin. Alhamdulillah, dengan penglibatan seramai kira-kira 130 orang murid, program ini berjaya dilaksanakan,” katanya. 


Menurutnya, antara cabaran yang dihadapi pihak sekolah dalam menjayakan program tersebut ialah aspek pengangkutan murid, terutama apabila program dilaksanakan pada hari Sabtu. 



      Ucapan oleh Pn. Hjh.                   Ucapan oleh Guru                         Ucapan oleh  

          Sharizan Shafie,                          Bimbingan dan                   En. Muhammad Azrin  

       Pengetua SMK Dato’                Kaunseling SMK Dato’            Jamaluddin, Pengarah  

        Zulkifli Muhammad                     Zulkifli Muhammad                   Program NextGen 

                                                                                                                Leaders Camp


Dalam masa sama, Sharizan berkata, nilai adab menjadi antara penekanan utama yang ingin diterapkan kepada murid melalui program berkenaan, selaras dengan hala tuju pendidikan negara. 


“Nilai penting yang ingin diterapkan melalui program ini ialah adab. Kebetulan, adab juga merupakan antara ciri utama yang diberi penekanan dalam Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035,” katanya. 


Menurutnya, seorang pemimpin murid bukan sahaja perlu mampu memimpin rakan-rakan, malah perlu memiliki adab yang baik dalam setiap tindakan dan komunikasi. 


Sementara itu, Pengarah Program merangkap Kem Komandan, En. Muhammad Azrin bin Jamaluddin berkata, NextGen Leaders Camp dirangka bagi memberi pengalaman kepimpinan secara langsung kepada murid melalui aktiviti yang mencabar tetapi menyeronokkan. 


“Objektif utama NextGen Leaders Camp adalah untuk membentuk kemahiran kepimpinan, komunikasi, kerjasama dan keyakinan diri dalam kalangan murid melalui aktiviti berasaskan pengalaman,” katanya. 


Beliau berkata, konsep explorace dipilih kerana pendekatan itu lebih dekat dengan jiwa remaja serta mampu menggalakkan penyertaan aktif peserta sepanjang program berlangsung. 



       Pelajar yang terlibat                   Aktiviti berkumpulan                  Explorace Challange


Wakil fasilitator program, Cik Nur Huda Munirah binti Ahmad Munif, yang juga Setiausaha Majlis Mahasiswa Anak-anak Pahang UPSI berkata, aktiviti explorace sesuai digunakan dalam membentuk kepimpinan kerana setiap cabaran menuntut peserta membuat keputusan secara bijak dan bekerjasama sebagai satu pasukan. 


Menurutnya, pengalaman mengendalikan salah satu checkpoint membolehkannya melihat sendiri bagaimana murid belajar memimpin, membahagikan tugasan dan menyelesaikan cabaran dalam masa yang ditetapkan. 


“Sebagai fasilitator, saya dapat melihat sendiri bagaimana peranan ketua amat penting dalam membahagikan tugasan secara adil dan memastikan semua ahli kumpulan bekerjasama menyelesaikan cabaran,” katanya. 


Secara keseluruhannya, NextGen Leaders Camp dilihat mampu menjadi platform penting dalam memperkukuh potensi kepimpinan murid melalui pendekatan yang lebih praktikal dan dekat dengan dunia pelajar. Program seperti ini bukan sahaja membina keyakinan diri, malah mendidik murid untuk menjadi pemimpin yang beradab, bertanggungjawab dan mampu bekerjasama dalam pelbagai situasi.