Jalinan Antarabangsa Institusi Pendidikan Tinggi UPSI bersama UMBY dari Yogyakarta Selamat Tiba di KLIA 2
Oleh : Sorfina Adawiah Fakhrur Razi dan Dr Ahmad Saufiyyan Abu Hassan
Tanjong Malim – Kerjasama oleh institusi pendidikan di peringkat antarabangsa terus diperkukuh demi kelangsungan akademik dan budaya serantau. Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mempergiat jalinan kolaborasi antarabangsa bersama pelajar Indonesia melalui program Inbound Mobility UMBY bersama Universitas Mercu Buana (UMBY) yang akan dijalankan selama 8 hari di UPSI. Program ini bertujuan untuk mempererat hubungan dengan negara jiran, serta perkongsian akademik, justeru memartabatkan fahaman yang tinggi dalam budaya antara dua negara.
Ketibaan seramai 7 orang pelajar dan seorang pensyarah dari UMBY di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) pada pukul 3.30 p.m. menandakan permulaan bagi program kolaborasi tersebut. Pelajar antarabangsa itu disambut oleh seramai 15-20 orang wakil pelajar dari UPSI sendiri.
Melalui inisiatif ini, pelajar berpeluang untuk membina kemahiran komunikasi yang efektif, pertukaran budaya antara negara serta memperluaskan perspektif global terhadap sesuatu isu. Bukan itu sahaja, kolaborasi ini turut memupuk sahsiah yang baik dan memperkukuh keyakinan pelajar dalam berkomunikasi dalam bidang yang lebih profesional.
Secara keseluruhannya, program ini diharapkan agar menjadi satu penggerak kepada seluruh institusi pendidikan tinggi di Malaysia untuk terus mempergiat kolaborasi antarabangsa yang bakal melonjakkan bidang akademik negara ke tahap yang lebih tinggi. Dengan kerjasama mampan oleh semua pihak, inisiatif ini mampu melahirkan generasi yang bersemangat dan berdaya saing dalam bidang akademik.