Media Sosial Bawah 16 Tahun: Perlindungan atau Sekatan?


Gambaran Media Sosial

Oleh : Adlin Fadhlina

Kerajaan Malaysia bakal memperkenalkan peraturan baharu bagi melindungi pengguna bawah umur di platform media sosial bermula 1 Jun 2026. Langkah ini akan mengehadkan pembukaan akaun media sosial bagi individu berusia bawah 16 tahun serta memperketat kawalan kandungan dalam talian.  

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), platform digital perlu menyediakan ciri keselamatan yang lebih ketat termasuk sistem pengesahan umur, mekanisme laporan yang lebih berkesan serta pelabelan kandungan yang dimanipulasi seperti kandungan AI dan deepfake.  

Langkah tersebut diperkenalkan susulan peningkatan kandungan berbahaya di media sosial seperti buli siber, penipuan dalam talian, eksploitasi kanak-kanak dan penyebaran berita palsu. Dalam masa sama, kerajaan turut memberi tekanan kepada platform seperti  TikTok berhubung isu kandungan palsu dan ofensif yang tular baru-baru ini.  

Walau bagaimanapun, cadangan ini turut menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat. Ada pihak menyokong usaha kerajaan demi keselamatan digital remaja, namun ada juga yang berpendapat bahawa sekatan menyeluruh mungkin menjejaskan kebebasan dan pembelajaran generasi muda dalam era digital.  

Beberapa negara lain seperti Australia dan Indonesia juga telah mula melaksanakan sekatan media sosial terhadap pengguna bawah umur sebagai usaha mengawal risiko penggunaan internet dalam kalangan remaja.  

Perkembangan ini menunjukkan bahawa keselamatan digital kini menjadi isu global yang semakin diberi perhatian, khususnya dalam melindungi generasi muda daripada ancaman dunia maya.